Sunday, February 26, 2012
BARU DUA BULAN DILANCAR, KEDAI MY AGRO KINI SEPI
Kedai MyAgro Hypermarket yang terletak di Malaysia Agriculture Exposition Park Serdang (MAEPS) sudah dua bulan dibuka.
Ia dirasmikan pada 8 Januari 2012 oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar setelah pelbagai acara meriah diadakan selama dua hari sebelum itu sempena perasmian berkenaan.
Namun hari ini, 26 Februari 2012, ketika saya berkunjung dengan isteri suasana lengang dan sepi, walaupun waktu itu masih belum tengah hari.
Saya mendapat maklumat kewujudan Hypermarket itu melalui media dan internet.
Selepas beberapa kali tertangguh, hari ini saya mendapat kesempatan untuk berkunjung.
Jauh ke dalam di tapak MAHA di tepi lebuhraya ke Serdang. Tiada papan tanda arah khusus untuk ke sana, cuma yang ada 'bunting' mengenai Hypermarket itu yang kini sudah dibuka.
Bangunannya tersergam dan indah serta terpampang besar nama hypermarket berkenaan.
Namun kami agak tertanya-tanya apabila terlihat jumlah kereta di tempat parkir yang begitu sedikit.
Dan ternyata sangkaan kami, ruang pameran barangan yang luas dan selesa hanya dikunjungi pelanggan yang jumlahnya tidak sampai sepuluh orang ketika itu.
Di ruang depan berhampiran kaunter pembayaran, peniaga kain, tudung dan keluaran tempatan lain hanya berbual sesama mereka tanpa dikunjungi pelanggan. Malah ada yang menjamu selera di meja kaunter jualannya.
Keseluruhannya, jumlah dan jenis barangan yang dijual di dalam Hypermarket itu bolehlah tahan. Harganya agak murah dan terdiri daripada keluaran tempatan yang tidak terdapat di Hypermarket lain.
Namun mungkin kerana kurang promosi dan lokasi yang jauh dari kawasan perumahan menjadikannya lengang dan sepi.
Kami menjadi lebih kecewa lagi apabila singgah di Kedai Ikan Rakyat di lantai yang sama dengan Hypermarket berkenaan.
Ikan-ikan yang dijual tidak segar dan ada yang pecah perut. Manakala bakul-bakul sayur banyak yang kosong. Malah sayur yang adapun layu dan layak untuk dibuang. Sayur peria yang tinggal tiga batang di sebuah bakul, bukan sahaja layu tetapi sudah lembik.
Kedai Ikan Rakyat itu yang pada mulanya dibuka setiap hari, kini hanya dibuka pada hari Sabtu dan Ahad pada waktu terhad kerana kurang sambutan.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pengurusan Syarikat Ikan Bakar Sekinchan yang mengendalikan perniagaan di kompleks Agro Hypermarket itu perlu segera mencari jalan supaya perniagaan di bangunan itu tidak terkubur.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam.
Saya rasa memang lokasi untuk kedai ini kurang strategik. Walaupun ada rakan-rakan yang duduk di kawasan Serdang, tapi mereka kata agak sukar untuk ke MAEPS kalau tiada transport.
Alhamdulillah situasi ini telah disiarkan dalam Berita TV9 malam tadi dan mendapat reaksi positif daripada pengurusan Agro Hypermarket.
Post a Comment