Monday, December 19, 2011

KONGRES KEBANGSAAN AFRIKA (ANC) 100 TAHUN


Kongres Kebangsaan Afrika, A-N-C sebuah pertubuhan politik tertua di dunia akan menyambut ulang tahun ke-100 pada 8 Januari 2012 ini.
Parti politik terbesar di Afrika Selatan itu telah memerintah negara berkenaan sejak kejatuhan regim apartheid pada tahun 1994.

A-N-C ditubuhkan pada tahun 1912 dengan nama South African Native National Congress.

Ia diasaskan oleh seorang peguam dari Durban, Dr. Pixley Ka Isaka Seme.

Parti itu ditukar nama secara rasmi kepada African National Congress pada tahun 1923.

Pada awal penubuhannya A-N-C bekerjasama dengan Parti Komunis Afrika Selatan, namun kerjasama itu terbatal apabila sesetengah pemimpin tradisional berbangsa Afrika menentang penglibatan ahli komunis berkulit putih dalam pergerakan nasuonalisme kulit hitam.

Kebangkitan semula A-N-C pada tahun 40an setelah merosot pada tahun 30an, hasil titik peluh golongan pemimpin muda generasi baru termasuk Nelson Mandela, Walter Sisulu, Oliver Tambo dan Anton Lembede.

Pada 1943 mereka menggerakkan Liga Belia A-N-C bagi menjana sokongan massa untuk menentang diskriminasi kaum.

Menjelang sambutan jubli emas A-N-C, kumpulan perancang telah berkampung di Bandar Mangaung sejak sebulan lalu bagi mengatur majlis sambutan.

Sambutan warisan itu amat bermakna kepada rakyat Afrika Selatan yang sejak sekian lama dulu dijajah oleh dasar apartheid.

Malah sambutan yang akan diadakan secara besar-besaran itu diiktiraf Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu, P-B-B, Ban Ki Moon

Sambutan dianggap luar biasa itu dijangka diadakan sepanjang tahun ini bermula dengan kejohanan hari golf seratus tahun pada 6 Januari.

Selain acara keagamaan, majlis makan malam akan diadakan pada hari berikutnya, yang akan dihadiri ketua Negara dan kerajaan serta delegasi asing.

Hari kemuncak iaitu tarikh kelahiran A-N-C akan diadakan pada 8 haribulan Januari, di mana Presiden Jacob Zuma akan memberikan ucapan  yang disusuli oleh persembahan  Tshihumbudzo, iaitu pengkisahan mengenai perjuangan A-N-C yang disampaikan dalam bentuk nyanyian dan tarian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak turut dijangka hadir untuk hari kemuncak sambutan itu.

A-N-C sejak berbulan lalu telah membentuk jentera pelaksana untuk mengerakkan ratusan ribu rakyat Afrika Selatan menyertai sambutan itu di Manguang.

Selain bas, keretapi dan kenderaan lain sudah ditempah bagi membawa rakyat menyertai sambutan itu, kempen pintu ke pintu di beberapa wilayah terutama Manguang turut dilakukan.

Malah mengikut laporan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Afrika Selatan, hotel-hotel di Manguang sudah habis ditempah pada tarikh berkenaan, termasuk semua penerbangan dari Johannesberg ke Manguang. Alternatif lain untuk ke Manguang, terpaksa berkereta selama 5 jam.

No comments: