Monday, January 13, 2014

REUNION DI BANDUNG

Sempena cuti krismas 25 Disember 2013 lalu, saya membawa isteri dan anak-anak berkunjung ke Bandung, Indonesia.

Penginapan kami, Hotel Grand Royal Panghegar di Jalan Merdeka. 

Kami memilih hotel apartment ini sepanjang penginapan lima hari. Hotel ini mempunyai kerjasama perniagaan dengan  syarikat pelaburan percutian Mayangsari Resort di Malaysia, yang mana saya adalah ahli 'joint ownership'nya.

Setibanya di lapangan terbang (Bandara) Husein Sastranegara kami disambut oleh dua pasang suami isteri, rakan-rakan di Bandung - Pak Ade dan Pak Yuyun serta isteri masing-masing.

Pagi-pagi lagi seawal jam 9 kami sudah bersarapan di satu daripada outlet Kartika Sari. Namun banyak menu belum tersedia, kerana perniagaan hanya bermula jam 11 pagi.

Sudah tentu lawatan ke Bandung akan dilengkapkan kunjungan ke tempat-tempat menarik dan membeli belah di factory outlet. 

Selain di Bandung, kami turut berkunjung ke Jakarta dan Bogor.


Antara tempat dilawati di Jakarta.


Namun catatan ini juga tidak lupa untuk memberi fokus kepada pertemuan menarik dengan alumni perawat-perawat (nurses) yang pernah mencurahkan bakti merawat bapa saya dan allahyarham ibu saya.

(Saat pertemuan dimulakan dengan makan tengah hari di restoran masakan minang)

Mereka adalah suster-suster lepasan kolej perawatan home care di Bandung dan telah mengikat kontrak merawat kedua-dua ibubapa saya sekurang-kurangnya dua tahun di Malaysia.

Mereka ialah Ratu, Cici, Uci dan Emas. Manakala seorang lagi rakan mereka Siti Lena masih berada di Malaysia meneruskan perkhidmatan itu selepas keempat-empat mereka menamatkan kontrak secara bergilir-gilir.

Kedatangan saya dan keluarga ke Bandung kali ini mempertemukan sekali lagi keempat-empat mantan perawat-perawat itu.

Thursday, January 9, 2014

TERIMA ANUGERAH KE-5


Alhamdulillah, pada 5 Januari 2014 lalu saya dianugerahkan Darjah Kebesaran yang ke-5.

Kali ini anugerah kerabat yang membawa gelaran Kanjeng Pangeran Datuk Temenggung Raden diberikan di Jakarta.


Turut hadir pada majlis penganugerahan dan penobatan, empat calon Presiden Indonesia termasuk Jeneral Wiranto, Sutiyoso dan Rhoma Irama. Manakala daripada kerajaan Indonesia diwakili seorang menteri dan seorang timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Dr Sapto Niwandar.

   Turut menerima kerabat Sultan Kelantan dan Selangor

Sebelum ini, kali pertama saya diberi anugerah Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) pada tahun 2008 oleh TYT Yang DiPertuan Negeri Melaka sempenan Hari Kelahirannya.

Pada tahun 2010, DYMM Sultan Selangor pula menganugerahkan saya Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) sempena Hari Keputeraan baginda. Anugerah diadakan di Istana Alam Shah, Klang.

    Bersama wartawan dan jurukamera TV

   Bersama sahabat dari Agendadaily.

Pada tahun yang sama, Sultan Demak, SRI SULTAN SURYA ALAM JOYOKUSUMO menganugerahkan saya dengan gelaran Kanjeng Raden Mas Haryo Tumenggung.

Dua tahun selepas itu pada bulan Oktober, 2012 DYMM Sultan Pahang berkenan menganugerahkan kepada saya Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) yang membawa gelaran Dato'.

Walaupun anugerah itu tidak setinggi anugerah daripada Allah, tetapi saya amat bersyukur dan insaf kerana segala-galanya di atas izinNya. 

Semoga saya dapat mendepani ujian ini.

Monday, September 16, 2013

GOLD COAST MORIB SEDIA PERKHIDMATAN SAJIAN TERBURUK

Pagi ini, ramai di kalangan penghuni dan pelanggan di resort  peranginan Gold Coast Morib merasa tidak puas hati. Namun masing- masing mereka merungut sesama sendiri.

Keadaan itu berpunca daripada penyediaan sarapan pagi yang disifatkan mereka seperti hotel bajet tuala ' good morning'. Malah ia sebenarnya lebih teruk daripada itu.

Rata-rata penghuni yang turun sarapan sekitar jam 8:30 hingga 9:00 pagi tersentak apabila mendapati  kebanyakan makanan yang dihidangkan sudah habis. Manakala semua meja-meja dipenuhi pinggan mangkuk kotor yang tidak dikutip.

(Pengunjung terpaksa mengemas kotoran sisa supaya meja boleh digunakan semula)


(Pinggan mangkuk kotor bersepah di setiap meja)

Waktu sarapan yang diperuntukan antara jam 7:30 pagi dan 10 pagi. 

Sebelum itu, penghuni yang datang bersarapan diarah ke dewan sementara (khemah) di luar bangunan. Restoran yang menyediakan sarapan sudah penuh dan makanan tidak cukup untuk menampung keperluan pengunjung.

Setelah berjalan kaki pada jarak kira-kira 50 meter, penghuni mula bersungut apabila mendapati apa yang dihidangkan di dewan sementara itu hanya nasi lemak dengan sambal berlauk kentang goreng. 

Rugutan semakin kuat dan merebak di kalangan yang hadir. Ia bermula apabila seorang penghuni berbangsa Cina memanggil pelayan dan mengadu mengenai keadaan itu. 

Seorang lagi penghuni mahu pelayan itu memanggil penyelia yang bertugas. Namun penyelia yang terpaksa diringi pengadu untuk datang ke dewan itu tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka semakin panas dan mahu berdepan dengan pengurus residen.
(Dua pramusaji dimarahi seorang pengunjung kerana perkhidmatan sajian yang buruk)

(Penyelia baju biru yang datang tak boleh buat apa-apa)

Rungutan dan aduan mereka ada asasnya. Rata-rata mereka membayar lebih RM500 untuk seunit bilik. Malah penghuni yang mengadu itu ada yang menyewa sehingga empat buah bilik. 

Mereka bukan kisah sangat dengan jumlah bayaran tetapi kecewa dengan layanan yang sambil lewa dan aduan yang memakan masa lama untuk diberi perhatian. Malah sikap penyelia dan pengurus residen seolah-olah mahu mengelak daripada berdepan dengan pelanggan yang mengadu amat dikesali.

Keadaan semakin kecoh di lobi hotel kerana keengganan pengurus untuk menemui penghuni. Kakitangan pengurusan pula cuba 'mengurung' mereka dengan membawa masuk penghuni-penghuni yang mengadu ke bilik mesyuarat, namun pelawaan itu tidak diendahkan.

Dan selepas didesak akhirnya pengurus residen muncul di lobi.

Tawaran Pengurus Residen, Subramaniam Padiah untuk menutup kelemahan pengurusan dengan memanjangkan tempoh daftar keluar dan menjemput makan tengah hari untuk sebahagian pengadu bukan jalan penyelesaian. 


Apa yang mereka mahu supaya pihak pengurusan Gold Coast Morib International Resort tidak mengulangi kelemahan itu dan memberi lebih perhatian dari segi jumlah penghuni dan sajian yang perlu disediakan, di samping tidak kedekut untuk mengaji pekerja yang lebih untuk menampung keperluan pengunjung yang ramai pada hujung minggu dan cuti kelepasan.

Wednesday, August 21, 2013

RAYA BAJU CERAH

Ini bukan merah, pink pun bukan, merah belacan pun entah. Tapi warna ini untuk menukar sikap lebih positif. Berani.


Warna biru turquoise ini kami pilih untuk raya tahun 2012.

Saturday, June 1, 2013

BERCUTI NAIK CRUISE (2)


Bangun pagi hari kedua, suasana masih gelap di luar tingkap. Manakala kapal semakin menghampiri pangkalan cruise di Phuket.

Selepas solat subuh saya dan isteri keluar menikmati pemandangan matahari naik di Sundeck dan bersenam di gimnasium.



Satu yang perlu dikongsi bersolat di atas kapal adalah arah qiblat. Arah qiblat sentiasa bertukar mengikut arah kapal belayar. Namun dengan kemudahan navigator screen di dalam kabin ia dapat memandu kita untuk menentukan arah qiblat.




Pada hari kedua kami memilih untuk bersarapan di Restoran Seasons yang berkonsepkan makanan barat.

Ada kira-kira empat restoran terbuka di kapal ini, tidak termasuk yang eksklusif kepada ahli-ahli kelab.

Manakala terdapat  677 kabin yang dapat menampung 1,354 penumpang.

Libra mempunyai 10 aras dengan tingkat teratas berupa Sundeck manakala aras sembilan menempatkan kolam renang untuk bersantai.

Kabin saya terletak di aras tiga manakala dua kabin untuk anak-anak di aras dua. 

Selain tangga, Libra turut menyediakan khidmat lif sehingga ke aras sembilan.

(Berlabuh di laut Andaman. Foto diambil dari bot kami yang meninggalkan kapal menuju sebuah jeti di Krabi)

Kapal Super Star Libra ini mempunyai ukuran panjang 216.3 meter atau 709.64 kaki. Manakala lebarnya berukuran 32.64 meter atau 107.09 kaki.

Ia mempunyai purata kelajuan knots  17 kn dan kelajuan maksimum 20 kn.

Kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan StarCruise Libra melabuhkan sauhnya di Phuket.

Hari ini makan tengah  dipercepatkan tempohnya kerana jam satu tengah hari penumpang masing-masing terikat dengan program lawatan ke Phuket mengikut pakej masing-masing.