Saya agak kecewa bila Dato Sri Khaled Nordin mengemukakan Draf Cadangan Pindaan Perlembagaan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lalu. Nampak sangat beberapa fasal yang dipinda dan diwujudkan bertujuan untuk menyingkirkan Dato Sri Najib dan Dato Sri Zahid dari UMNO.
Sungguhpun begitu, atas semangat Ramadhan, saya mengambil pendekatan mendiamkan diri walaupun saya sudahpun menyediakan bantahan bertulis mengenainya. Namun, kenyataan orang kanan Dato Sri Khaled, Maulizan Bujang, Ketua UMNO Tebrau bertajuk “Zahid Perlu Terus Bercuti Atau Berhenti, Tak Perlu Acah-acah Nak Balik”, sudah agak keterlaluan dan sangat mengecewakan. Ini memaksa saya mengemukakan bantahan bertulis saya terhadap niat jahat pindaan perlembagaan tersebut.
Maulizan mengatakan terdapat gerakan penyokong Zahid untuk membawa balik Zahid dari bercuti. Jika tiada penyokong Zahid mahu mengakuinya, biar saya mengakuinya, Ianya Benar. Takkan Dato Zahid hendak tunggu beliau disingkir sebagai ahli UMNO melalui pindaan perlembagaan, baru hendak bertugas semula?
Saya sejak dari awal lagi tidak bersetuju dengan keputusan Presiden yang tunduk dengan desakan pihak yang tidak boleh menerima keputusan pemilihan parti ini. Sejak bila suara satu dua orang Ketua Bahagian ini menjadi lebih besar daripada lebih separuh perwakilan 191 Bahagian UMNO yang telah memilih Dato Zahid? Seperti biasa, alasan yang Maulizan gunakan adalah ketiadaan hala tuju, walaupun beribu perwakilan yang hadir Perhimpunan Agong UMNO sudahpun mendengar amanat dan halatuju yang telah dibentang Presiden dengan panjang lebar.
Agak melucukan juga apabila beliau memberikan alasan ramai MP yang akan lompat Parti sekiranya Dato Sri Zahid tidak bercuti. Seolah-olah kita tidak tahu mengenai “pakatan” Pro Mahathir ini dengan Dato Sri Hamzah Zainuddin yang melakukan kerja-kerja membawa MP UMNO keluar parti. Menurut Maulizan, kepimpinan Tok Mat Hassan dilihat lebih diyakini orang Melayu dan bersih dimata masyarakat manakala Zahid
dan Najib digambarkan sebagai pemimpin yang terpalit dengan pelbagai kekotoran. Sudahlah kamu gagal menjadi garam yang memasinkan ikan, kamu pula membiarkan diri menjadi langau yang membusukkan ikan apabila kamu mengiakan fitnah tersebut.
Saya tidak nafikan, nasib Tok Mat dan Dato Khaled lebih baik kerana tidak didakwa di Mahkamah berbanding nasib mereka yang menentang Tun Mahathir berhabis-habisan. Tidak perlulah saya mengulas bab siapa bersih dan siapa tidak, saya yakin selaku bekas Pegawai Kerajaan yang berkhidmat dibawah Perdana Menteri, mereka tahu apa yang saya tahu. Tidak perlulah saya buka aib sesiapa disini.
Jika benar gandingan Tok Mat-Dato Khaled ini lebih bersih dan diyakini orang Melayu, termasuk golongan pertengahan yang kononnya mengambil kira soal “kepimpinan yang tidak mengamalkan kronisma dan nepotisme”, bukankah lebih elok mereka mengambil-alih pucuk pimpinan UMNO melalui pemilihan parti? Saya yakin mereka pasti mempunyai banyak sokongan. Namun, agak menyedihkan, jalan mudah memindahkan tiang gol digunakan untuk menyingkir Presiden dan Mantan Presiden kita melalui pindaan perlembagaan.
Tidak adakah sekelumit jasa mereka berdua kepada parti ini sehingga mereka diperlakukan sedemikian rupa dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Ingat, Dato Sri Najib dan Dato Sri Zahid tidak pernah meninggalkan UMNO ketika berlakunya pengharaman parti tahun 1987. Mereka juga terus kekal bersama UMNO ketika badai melanda UMNO semasa Dato Sri Anwar dipecat 1998. Sungguhpun Dato Zahid rapat dengan Anwar, namun beliau tetap setia bersama UMNO, malah sanggup menyerahkan kerusi Ketua Pemuda asalkan tidak dipecat oleh Tun Mahathir. Takkanlah bila beliau sudah memenangi jawatan Presiden, beliau sekali lagi perlu tunduk dengan kehendak Mahathir yang bukan lagi ahli UMNO?
Tidak ada sebab untuk Dato Sri Zahid dan Dato Sri Najib melepaskan jawatan mereka di dalam UMNO. Mereka menang pemilihan parti dan pilihanraya Umum. Mereka lebih wajib menjalankan amanah yang telah diamanahkan dibahu mereka oleh ahli UMNO dan rakyat kawasan masing-masing daripada memenuhi desakan Maulizan yang hanya menulis mengikut kehendak boss beliau. Lebih menyedihkan, Maulizan kini dijadikan kambing hitam dan diminta mengawal pertuturan oleh sang penguasa yang kerap baling batu sembunyi tangan.
Jika sudah tidak sabar menyingkirkan Dato Sri Najib dan Dato Sri Zahid dari parti, ada baiknya disegerakan pemilihan parti dan biarkan ahli membuat pilihan mereka.
Dato’ Lokman Noor bin Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Lampiran
*BANTAHAN BERTULIS TERHADAP CADANGAN PINDAAN PERLEMBAGAAN*
PERKARA 3 : ASAS DAN TUJUAN
• Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri-Negeri selagi mana perlembagaan itu mempertahankan Kepentingan Melayu dan Bumiputera, Raja- Raja Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan dan lain-lain perkara sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 153.
*BANTAHAN* :
Sewajarnya Islam diletakkan dihadapan sebelum Kepentingan Melayu dan Bumiputra serta Raja-Raja Melayu.
TANGGUNGJAWAB MAJLIS TERTINGGI FASAL 10.16
Majlis Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.
Fasal 10.16 Majlis Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan mengikut satu tempoh yang difikirkan/diputuskan oleh Majlis Tertinggi.
*BANTAHAN* : Pemilihan parti perlu dilakukan 3 tahun sekali sepertimana dijanjikan oleh pimpinan parti ketika berkempen. Amat mendukacitakan apabila kuasa yang diberikan kepada MT untuk menangguh pemilihan sehingga 18 bulan ingin dipanjangkan tanpa had. MT dipilih untuk mewakili ahli, adalah satu pengkhianatan kepada ahli jika MT diberi peluang memegang jawatan selama mana yang mereka mahu sebegini.
TEMPOH PERKHIDMATAN
FASAL 9.3
CADANGAN PINDAAN
Terdapat cadangan untuk menghadkan:
i. 3 Penggal berturut-turut bagi jawatan Presiden,
ii. 3 Penggal berturut-turut bagi jawatan Ketua
Bahagian,
iii. 3 Penggal berturut-turut bagi jawatan Ketua
Wanita Bahagian dan Malaysia,
iv. 3 Penggal berturut-turut bagi jawatan Ketua
Pemuda Malaysia.
*BANTAHAN* :
Amalan sedia ada sudah memadai bagi melahirkan kepimpinan UMNO baru dan mengelalkan kepimpinan lama yang digemari rakyat. Cadangan ini akan menyekat tokoh muda yang berwibawa untuk naik dan menyekat mereka yang sudah matang dan berpengalaman untuk meneruskan bakti mereka. Adakah seorang Ketua Umno Bahagian yang memegang Jawatan Ketua UMNO Bahagian seawal usia 31 tahun perlu melepaskan jawatannya apabila genap 40 tahun? Adakah kita mahu mereka berhijrah ke parti lain? Jatuh bangun seseorang pemimpin biar ahli yang menentukan, kaedah pemilihan Pemimpin dari Peringkat Cawangan hingga ke Pusat kini yang melibatkan seramai mungkin ahli, sudah sedia molek.
DISIPLIN
Fasal 20.4
Lembaga Disiplin di Peringkat Negeri setelah mendengar atau berpuas hati terhadap pelanggaran peruntukan perlembagaan ini atau Tataetika Ahli UMNO, boleh mengenakan mana-mana hukuman mengikut kuasa yang tertakluk dalam Perlembagaan.
Pelanggaran Perlembagaan berbentuk rasuah serta kesalahan berunsur kewangan akan diserahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan susulan dan mengambil tindaan undang- undang.
*BANTAHAN* :
Adalah tidak masuk akal sama sekali sekiranya masalah disiplin ahli UMNO mahu diserahkan kepada SPRM untuk menentukan hukumannya. Tidakkan jawatankuasa Pindaan ini sedar bahawa SPRM kini dikuasai musuh kita iaitu Pakatan Harapan.
Usahlah terlalu yakin bahawa hubungan baik dengan Tun Mahathir boleh menjamin semua kes yang melibatkan kumpulan Pro Mahathir didalam UMNO digugurkan sepertimana kes rasuah di Johor.
Serangan yang dilakukan keatas Bekas Pemimpin UMNO yang rapat dengan Tun Mahathir sebaik sahaja beliau menolak permintaan Tun Daim agar beliau meninggalkan UMNO, sewajarnya dijadikan iktibar.
DISIPLIN
CADANGAN FASAL BARU PERLEMBAGAAN PARTI
Mana-mana ahli yang disabit kesalahan atas pertuduhan rasuah atau jenayah akan digugurkan keahliannya secara automatik setelah selesai proses rayuan di peringkat tertinggi.
*BANTAHAN* :
Cadangan ini adalah jelas lagi bersuluh merupakan usaha pihak Pro Mahathir untuk menyingkirkan mana-mana pihak yang menentang Pakatan Harapan.
Amat mendukacitakan bagaimana perkara seperti ini boleh dicadangkan. Meluluskan fasal ini bererti kita meletakkan kuasa mengugurkan keahlian pemimpin dan ahli kita ditangan musuh yang memerintah!
Lainlah kalau kita yang memerintah dan keadilan sistem perundangan itu terjamin. Apa yang hendak kita harapkan apabila Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara berpihak kepada Regim Mahathir DAP?
Memanglah siasatan dan pendakwaan tidak akan dilakukan keatas mereka yang Pro Mahathir, tetapi adakah kita mahu bunuh semua pejuang parti yang masih berjuang menentang Regim Mahathir DAP ini? Niat jahat fasal ini tidak hanya akan membunuh Dato Sri Najib dan Dato Sri Zahid sepertimana dimahukan Mahathir, namun ianya juga akan membunuh aktivis parti yang didakwa seperti Dato Sri Jamal yang didakwa kerana memecah botol arak di depan Pejabat SUK Selangor, Membasmi Judi Haram dan sebagainya.
Malah saya dan Dato Mutalif juga akan hilang keahlian sekiranya kami didenda kerana menghentikan provokasi Mahasiswa DAP yang menghina Mantan Presiden Parti. Jika ini pendirian yang diambil oleh parti, tiada siapa lagi mahu berjuang untuk meningkatkan kesedaran rakyat bagi menentang Pakatan Harapan.
DANA DAN ASET
CADANGAN FASAL BARU PERLEMBAGAAN PARTI
Setiap Ahli UMNO dan pemimpin parti tidak dibenarkan sama sekali untuk menyimpan wang parti dalam akaun peribadi.
*BANTAHAN* :
Dalam keadaan UMNO menjadi Parti Pembangkang, adalah sangat tidak bijak untuk menyimpan wang UMNO semua dalam akaun parti.
Bab ini sepatutnya kita ikut keputusan Tun Mahathir dan MT Penaja UMNO Baru dimana sebahagian disimpan dalam akaun parti dan sebahagian disimpan didalam akaun pemegang amanah. Kalau semua simpan dalam akaun parti, akaun parti beku macam sekarang, semua program parti terhenti.
Dalam rasional cadangan ini juga, JK Pindaan menyatakan bahawa dana parti tidak seharusnya dipegang oleh individu. Suka saya jelaskan disini, Presiden UMNO juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional yang bertanggungjawab menyediakan Dana bagi 222 kawasan Parlimen dan lebih 500 Dewan Undangan Negeri.
Katakanlah anggaran perbelanjaan satu pilihanraya ialah sekitar 1.5b ketika kita masih memerintah. Katakan jumlah diperlukan separuh dari jumlah berkenaan, ini bermakna Presiden secara automatik akan melanggar Perlembagaan Parti kerana menyimpan dana yang perlu diagihkan kepada perhubungan negeri dan parti komponen.
Adalah tidak munasabah dana sebanyak itu juga boleh dikeluarkan dari bank sebaik sahaja pembubaran parlimen.
No comments:
Post a Comment