Saturday, December 8, 2012
MASALAH DENGKUR
Berdengkur adalah bunyi bising semasa bernafas, apabila sebahagian� daripada saluran pernafasan atas seseorang tersumbat. Ia berlaku apabila terdapat sekatan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung seseorang.
Bunyi itu dikeluarkan apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain. Berdengkur bertambah kerap mengikut umur dan biasanya tidak membahayakan.
Sebab-sebab Berdengkur
Lemah otot-otot pada lidah, lelangit lembut dan tekak.
Apabila otot tidak tegang akibat arak atau ubatan yang menyebabkan otot lemah, lidah akan tertolak ke belakang, menutupi aliran udara atau otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak dan menyekat salur pernafasan atas.
Tisu tekak yang besar dan tebal.
Kanak-kanak yang mempunyai tonsil dan tisu adenoid yang membengkak selalunya berdengkur. Termasuk juga orang yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher yang pendek dan besar.
Lelangit lembut dan uvula (anak tekak) yang panjang.
Uvula yang panjang akan mengecilkan rongga pembukaan dari hidung ke tekak. Getaran yang berlebihan dari tisu ini akan mengakibatkan dengkuran.
Saluran pernafasan tersekat.
Hidung yang tersumbat dan sukar bernafas menyebabkan individu lebih kerap menyedut udara untuk bernafas. Ini mengakibatkan ruang vakum yang berlebihan di dalam tekak, dan mengakibatkan tisu tekak yang lembut tertarik ke dalam dan mengakibatkan dengkuran. Antara sebab lain adalah batang hidung yang bengkok, polip dan jangkitan sinus.
Komplikasi
Wanita sanggup melakukan apa sahaja termasuk pembedahan untuk mengatasi masalah ini. Selain mengganggu keharmonian di bilik tidur, ia boleh menjurus kepada pergaduhan hingga berlakunya perceraian terutamanya apabila si suami tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.
Sebaliknya, berlainan bagi wanita yang semula jadinya bersifat pemaaf kerana mereka lebih bertolak ansur terhadap suami yang berdengkur.
Biasanya masyarakat selalu memandang ringan kepada berdengkur. Walaupun berdengkur ini dilihat tidak serius tetapi sekiranya ia tidak diubati akan mengakibatkan penyakit lain seperti sleep apnea yang menyebabkan kegagalan jantung dan angin ahmar.
Dengkur boleh dikelaskan kepada tiga peringkat :
Peringkat pertama – berdengkur yang ringan dengan 4 atau 5 kali dengkuran kemudiannya berhenti dan seterusnya diulangi lagi.
Peringkat kedua – berdengkur yang sederhana iaitu berdengkur berterusan selama 10 hingga 15 minit dan bunyinya yang sama rata.
Peringkat ketiga – berdengkur yang SERIUS diikuti dengan berhentinya pernafasan sehingga terjaga. Kemudiannya akan menarik nafas yang dalam dan keadaan ini diulanginya secara berterusan. Dengkuran ini dipanggil ‘sleep apnea’
‘Sleep apnea’ boleh MEMBAHAYAKAN DIRI dan memerlukan rawatan selanjutnya.
Diagnosis
Bolehkah dengkuran yang kuat disembuhkan?
Pendengkur yang TERUK ialah mereka yang berdengkur pada mana-mana kedudukan atau mengganggu orang lain, sepatutnya mencari khidmat nasihat perubatan bagi memastikan keadaan itu bukanlah masalah ‘sleep apnea’.
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak akan memeriksa hidung, mulut, tekak, lelangit dan leher pendengkur. Kajian semasa tidur yang dilakukan di dalam ‘makmal tidur’ perlu bagi mengenal pasti tahap keseriusan dengkuran dan kesan kesihatan ke atas pendengkur tersebut.
Rawatan
Rawatan adalah bergantung kepada diagnosis yang dibuat. Pemeriksaan akan menunjukkan dengkur adalah disebabkan oleh alahan hidung, jangkitan, kecacatan atau masalah tonsil.
Rawatan diberi mengikut sebab-sebab yang dikenal pasti.
Pencegahan
Petua untuk mengurangkan dengkuran :
* Kurangkan berat badan jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan
* Kurangkan pengambilan arak atau ubatan yang mempunyai kesan mengantuk pada waktu tidur
* Cegah pengambilan tranquilizer, pil tidur dan antihistamina sebelum tidur
* Elak pengambilan arak sekurang-kurangnya 4 jam dan mengambil makanan berat atau ringan dalam tempoh 3 jam, sebelum berehat
* Amalkan tidur pada waktu yang tetap setiap hari
* Utamakan posisi tidur mengiring daripada posisi terlentang
* Tinggikan kepala katil anda lebih kurang 4 inci ke atas supaya posisi kepala lebih tinggi dan lidah tertolak ke belakang.
- SUMBER : PanduanPercuma.info
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment