Monday, October 10, 2011

SUDAH SEMINGGU EMAK TIADA

Sudah 10 hari emak (Hajjah Tuminah Binti Haji Abd Jalil) meninggal dunia. Berita pemergian emak mula saya terima pada awal pagi 1 Oktober, 2011.

Ketika baru beberapa minit melelapkan mata, isteri saya menerima panggilan daripada abang Zahid untuk bercakap dengan saya.

“Look emak meninggal”, beritahu abang Zahid ringkas. Saya seperti kaku dan tidak berkata apa-apa hanya sekadar mengucapkan “Inna lilah wa inna ilayhi raji'oon” (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali). Selepas ini saya hanya mampu meneruskan kata-kata, “kita balik sekarang” dan disambut dengan jawapan “Ya” oleh abang Zahid.

Emak meninggal dunia jam 1:40 pagi. Menurut jururawat yang merawatnya di rumah, emak mula muntah-muntah kira-kira jam 1:00 pagi dan berlanjutan sehingga arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Emak sudah terlantar dan tidak boleh bercakap lebih empat tahun kerana diserang stroke.

Ketika mula diberitahu emak sakit, saya bersama isteri balik kampung untuk melihat keadaan emak.

Mulanya saya diberitahu emak kena sampuk. Tetapi kami adik beradik yang balik ketika itu termasuk Kak Samahah tidak yakin dengan rumusan itu. Setelah berbincang dengan adik beradik lain kami memutuskan emak perlu dibawa untuk rawatan ke Kuala Lumpur.

Hari itu juga pada 28 Julai 2007 saya membawa emak yang turut ditemani bapak ke Kuala Lumpur.

Sepanjang perjalanan, saya merasakan emak tidak selesa walaupun beliau tidak boleh bercakap untuk menyatakan perasaannya. Daripada reaksinya, saya dan isteri dapat membayangkan emak mahu bapak yang duduk di depan bersebelahan saya, menemaninya duduk dikerusi tengah MPV yang saya pandu.

Tiba di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, emak tidak mahu turun walaupun berkali-kali dipujuk. Pusat rawatan ini sebelum ini bagaikan rumah kedua emak dan bapak kerana sering menerima rawatan susulan di situ.

Akhirnya emak diangkat ke pengusung oleh kakitangan hospital dan dibawa ke bilik rawatan kecemasan.

Sejak tarikh itu emak terus dirawat di hospital itu.

Pada 15 September 2008 emak dipindahkan ke rumah Kak Samahah di Tanjung Malim setelah kami mendapat perkhidmatan dua jururawat terlatih dari Bandung hasil kerjasama pengurusan Pusat Rawatan Islam Kampung Baru.

Ini bermakna sudah 14 bulan emak dirawat di hospital Kampun Baru. Pada tahun pertama emak sakit, kami adik beradik beraya di hospital. Manakala tahun kedua emak sakit kami semua beraya di Tanjung Malim.

Pada 25 Jun 2009, kami kemudian memutuskan emak perlu dibawa balik ke kampung. Ini kerana emak sudah lama tidak berada di rumah dan ketiadaan emak menjadikan rumah di kampung tiada berpenghuni.

Bilik emak kami jadikan seperti wad di hospital, siap dengan katil dan peralatan rawatan yang lengkap.

Dan sejak dua tahun ini, rawatan susulan untuk emak dilakukan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan. Kadang-kadang emak terpaksa ditahan untuk jangka masa panjang kerana keadaan yang tidak mengizinkan beliau untuk dibawa pulang.

Kali terakhir emak dirawat di hospital itu pada bulan Ramadan (Ogos) lalu. Kami membawa emak pulang sehari sebelum Aidil Fitri, walaupun pihak doktor sebenarnya tidak mengizinkannya. Emak bukan diberi ‘discharge’ tetapi diberi cuti supaya dapat beraya dengan anak-anak dirumah.

Disebabkan keadaan emak agak stabil, pihak doktor pakar di HAT membenarkan emak dirawat di rumah sehingga hari temujanji pada 3 Oktober, 2011 (Isnin).

Namun pada 1 Oktober, 2011 (Sabtu) Allah lebih menyayangi beliau sebelum sempat dibawa semula ke Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Kami redha dengan pemergian mu emak yang telah menderita lebih empat tahun.

Semuga roh emak dicucuri Rahmat dan ditempatkan dikalangan mereka yg beriman.

AL-FATIHAH



Bondalah keramat hidup dalam keluargamu. Jika ia sudah tiada, anak lelaki yang solehlah yang dapat mendoakannya. Diantara sufaat ibu dan anak lelaki yang soleh, hubungan batin tiada putusnya sampai hari kiamat. Sedekah fatihah dan selalulah menghadap…dengannya….berbual-bual untuk mengadu dan berbincang di alam roh, menghilangkan rindu”. – pesanan SMS daripada Datuk Seri Radin Johari Mansur kepada saya saat ketika saya terlintas ingatkan emak semasa memandu di Jalan Rungkup pada pagi Isnin 3 Oktober, 2011 jam 09:55 pagi.

1 comment:

azroy8778 said...

Al-Fatihah..,
saya terima berita daripada Pak Cik Saiful kira2 jam 2.00pagi 1/10/2011.
Alhamdulillah kami sekeluarga dapat bersama2 di Sg Nipah..