Friday, October 21, 2011

PUTERI BONGSU SULTAN NIKAH

YOGYAKARTA 18 Okt. - Majlis pernikahan puteri bongsu Raja Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat, Sri Sultan Hamengku Buwono X iaitu Gusti Kanjeng Ratu (GKR) Bendara dengan Kanjeng Pangeran Haryo (KPH) Yudanegara di sini hari ini berlangsung dalam tradisi Jawa-Islam.

GKR atau nama sebenarnya, Puteri Nurastuti Wijareni, 25, bertemu jodoh dengan KPH atau Achmad Ubaidillah, 29, yang bukan berdarah diraja dan bertugas di pejabat Naib Presiden Indonesia, Boediono.

Pernikahan diraja itu mendapat perhatian seluruh masyarakat di Daerah Istimewa Yogyakarta yang terletak 400 kilometer dari Jakarta dan merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang masih memiliki keluarga diraja.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh ayahanda pengantin perempuan, Sultan Hamengku Buwono yang juga wali nikah GKR di Masjid Panepen Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat pagi ini.

"KPH Yudanegara, saya nikahkan kamu dengan putri saya GKR Bendara," kata Sultan dalam bahasa Jawa.

"Saya terima nikahnya GKR Bendara dengan mas kahwin al-Quran, sepersalinan kelengkapan solat dan perhiasan," ucap KPH ketika melafazkan akad nikah juga dalam bahasa Jawa.

Pengantin lelaki, KPH biarpun berasal dari Lampung dan tidak biasa dengan bahasa Jawa, namun lancar ketika melafazkan ijab kabul.

Ketika majlis akad nikah berlangsung, puteri diraja berkenaan tidak turut serta.
Sebaliknya, sejurus selepas majlis pernikahan, pasangan berkenaan ditemukan dalam acara ritual panggih' pengantin (temu pengantin) di Bangsal Kencana.

Majlis pernikahan yang berlangsung gilang-gemilang itu dihadiri oleh lebih 2,000 tetamu termasuk Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Beribu-ribu masyarakat Yogyakarta pula berdiri di jalan-jalan utama di sekitar bandar diraja itu untuk menatap wajah pengantin yang diraikan di istana diraja yang berusia 200 tahun itu.

Sunday, October 16, 2011

KARNIVAL - 3








KARNIVAL - 2










YOUTUBE KARNIVAL





KARNIVAL MESRA RIANG RIUH SKPBP(2)





Foto : Group Photo selepas ucapan penutup.

Foto : Upin dan Ipin bersama AJK PIBG, Nadeson, Ros Azlina dan Halim.


Foto : Ucapan penutup oleh YDP.
Sebagai Pengerusi Program dan YDP PIBG Sekolah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (2) saya amat berbesar hati dan teruja dengan komitmen yang diberikan oleh semua AJK PIBG dan guru-guru sehingga program berkenaan terlaksana dengan jayanya.

Ucapan terima kasih juga kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi merasmikan program tiga serangkai; Karnival Mesra Riang Riuh, Juara Rakyat dan Pelancaran Pendaftaran Keanggotaan Askar Wataniah Kompeni Puchong.

Terima kasih juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Serdang, Dato Dr Mohd Satim Diman kerana mencetuskan idea pengabungan program berkenaan dan sokongan yang kuat sehingga berjaya dilaksanakan.

Inilah julung-julung kalinya PIBG sekolah berkenaan melaksanakan program besar itu. Kejayaan itu adalah kerana semangat kebersamaan oleh semua pihak termasuk guru besar Cikgu Habsah Mutalib, Naib YDP Haji Hisham Mohammad, GPK Cikgu Roslee, Cikgu Lan (Mohd Azlan Goh Mohamed Yusoff) dan semua yang terlibat yang tidak dapat saya senaraikan satu persatu termasuk pemimpin setempat Haji Shariffudin serta orang perseorangan dari pejabat ADUN Seri Serdang dan UMNO Bahagian Puchong..

Liputan media juga meluas dengan adanya orang kuat editorial dari Bernama, Hafizah Kamaruddin yang juga sebagai AJK PIBG. Terima kasih Lawrence Tan, Gilbert Lee, Nadeson Pillai, Ros Azlina Ab Aziz, Abdul Halim Osop dan Timothy Choe (pakar IT).

Terima kepada setiausaha PIBG cikgu Rosnani Ismail dan guru-guru AJK PIBG dan seluruh guru-guru SKPBP(2) dan warga sekolah.

Saya tabik anda semua!

Monday, October 10, 2011

SUDAH SEMINGGU EMAK TIADA

Sudah 10 hari emak (Hajjah Tuminah Binti Haji Abd Jalil) meninggal dunia. Berita pemergian emak mula saya terima pada awal pagi 1 Oktober, 2011.

Ketika baru beberapa minit melelapkan mata, isteri saya menerima panggilan daripada abang Zahid untuk bercakap dengan saya.

“Look emak meninggal”, beritahu abang Zahid ringkas. Saya seperti kaku dan tidak berkata apa-apa hanya sekadar mengucapkan “Inna lilah wa inna ilayhi raji'oon” (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali). Selepas ini saya hanya mampu meneruskan kata-kata, “kita balik sekarang” dan disambut dengan jawapan “Ya” oleh abang Zahid.

Emak meninggal dunia jam 1:40 pagi. Menurut jururawat yang merawatnya di rumah, emak mula muntah-muntah kira-kira jam 1:00 pagi dan berlanjutan sehingga arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Emak sudah terlantar dan tidak boleh bercakap lebih empat tahun kerana diserang stroke.

Ketika mula diberitahu emak sakit, saya bersama isteri balik kampung untuk melihat keadaan emak.

Mulanya saya diberitahu emak kena sampuk. Tetapi kami adik beradik yang balik ketika itu termasuk Kak Samahah tidak yakin dengan rumusan itu. Setelah berbincang dengan adik beradik lain kami memutuskan emak perlu dibawa untuk rawatan ke Kuala Lumpur.

Hari itu juga pada 28 Julai 2007 saya membawa emak yang turut ditemani bapak ke Kuala Lumpur.

Sepanjang perjalanan, saya merasakan emak tidak selesa walaupun beliau tidak boleh bercakap untuk menyatakan perasaannya. Daripada reaksinya, saya dan isteri dapat membayangkan emak mahu bapak yang duduk di depan bersebelahan saya, menemaninya duduk dikerusi tengah MPV yang saya pandu.

Tiba di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, emak tidak mahu turun walaupun berkali-kali dipujuk. Pusat rawatan ini sebelum ini bagaikan rumah kedua emak dan bapak kerana sering menerima rawatan susulan di situ.

Akhirnya emak diangkat ke pengusung oleh kakitangan hospital dan dibawa ke bilik rawatan kecemasan.

Sejak tarikh itu emak terus dirawat di hospital itu.

Pada 15 September 2008 emak dipindahkan ke rumah Kak Samahah di Tanjung Malim setelah kami mendapat perkhidmatan dua jururawat terlatih dari Bandung hasil kerjasama pengurusan Pusat Rawatan Islam Kampung Baru.

Ini bermakna sudah 14 bulan emak dirawat di hospital Kampun Baru. Pada tahun pertama emak sakit, kami adik beradik beraya di hospital. Manakala tahun kedua emak sakit kami semua beraya di Tanjung Malim.

Pada 25 Jun 2009, kami kemudian memutuskan emak perlu dibawa balik ke kampung. Ini kerana emak sudah lama tidak berada di rumah dan ketiadaan emak menjadikan rumah di kampung tiada berpenghuni.

Bilik emak kami jadikan seperti wad di hospital, siap dengan katil dan peralatan rawatan yang lengkap.

Dan sejak dua tahun ini, rawatan susulan untuk emak dilakukan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan. Kadang-kadang emak terpaksa ditahan untuk jangka masa panjang kerana keadaan yang tidak mengizinkan beliau untuk dibawa pulang.

Kali terakhir emak dirawat di hospital itu pada bulan Ramadan (Ogos) lalu. Kami membawa emak pulang sehari sebelum Aidil Fitri, walaupun pihak doktor sebenarnya tidak mengizinkannya. Emak bukan diberi ‘discharge’ tetapi diberi cuti supaya dapat beraya dengan anak-anak dirumah.

Disebabkan keadaan emak agak stabil, pihak doktor pakar di HAT membenarkan emak dirawat di rumah sehingga hari temujanji pada 3 Oktober, 2011 (Isnin).

Namun pada 1 Oktober, 2011 (Sabtu) Allah lebih menyayangi beliau sebelum sempat dibawa semula ke Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Kami redha dengan pemergian mu emak yang telah menderita lebih empat tahun.

Semuga roh emak dicucuri Rahmat dan ditempatkan dikalangan mereka yg beriman.

AL-FATIHAH



Bondalah keramat hidup dalam keluargamu. Jika ia sudah tiada, anak lelaki yang solehlah yang dapat mendoakannya. Diantara sufaat ibu dan anak lelaki yang soleh, hubungan batin tiada putusnya sampai hari kiamat. Sedekah fatihah dan selalulah menghadap…dengannya….berbual-bual untuk mengadu dan berbincang di alam roh, menghilangkan rindu”. – pesanan SMS daripada Datuk Seri Radin Johari Mansur kepada saya saat ketika saya terlintas ingatkan emak semasa memandu di Jalan Rungkup pada pagi Isnin 3 Oktober, 2011 jam 09:55 pagi.