Friday, August 20, 2010

RAMADAN YANG SIBUK, PERLU DIMANFAATKAN SEPENUHNYA

Ramadan sudah 10 hari berlalu. Hajat untuk bersama-sama bertarawih di masjid dengan jemaah khariah hanya mampu dilakukan dua kali sahaja setakat ini. Selain itu masa dihabiskan di tempat kerja, memenuhi jemputan Iftar daripada korporat dan kementerian serta agensi kerajaan dan swasta lain. Nasib baik ada waktu untuk bertemu rakan khariah ketika solat subuh.

Hari ini walaupun mengambil cuti tetapi masih tidak berkesempatan berbuka di masjid dan berterawih bersama. Saya meminta isteri untuk mewakilkan saya hadir majlis Iftar di masjid Al-Husna Pusat Bandar Puchong. Ini kerana saya perlu memenuhi undangan untuk berbuka, membaca surah Yassin, solat hajat dan menyempurnakan solat Isya dan sunat terawih di sekolah anak di Sungai Merab. Majlis diadakan sempena peperiksaan SPM dan PMR yang akan menjelang tiba selepas hari raya.

Semalam ketika bermesyuarat saya mendapat sms menyatakan sepupu saya yang bersebelahan rumah di kampung kembali ke rahmatulah. Mohd Anas Zabidi sudah lama sakit dan sering keluar masuk hospital. Allahyarham yang bertugas sebagai Pengarah MIDA Kedah/Perlis terpaksa kembali ke Kuala Lumpur untuk menerima rawatan rapi. Beliau akhirnya memenuhi panggilan Ilahi mengikuti ayahnya dan adiknya Farhan yang lama pergi. Jenazah dimandikan di surau Taman Keramat Permai dan disolatkan selepas zuhur.

Abang Zahid yang dijadualkan pergi ke Pulau Pinang tengahari sempat meluangkan masa untuk menziarahi jenazah di surau berkenaan. Abang Hakim yang di rawat 20 hari di hospital termasuk 16 hari dalam ICU, juga hadir. Alhamdullilah walaupun sudah pulih tapi jalannya masih perlahanan. Badannya juga sudah susut 10 kilogram.

Selepas solat jenazah, saya sempat mencuri masa menziarahi emak di hospital. Nanang sunyi, mereka yang menziarahi emak dan Nanang sudah berkurangan. Bapak minta balik kampung beberapa hari sebelum Ramadan walaupun tempuh rawatannya di hospital masih ada.

No comments: