Sunday, August 31, 2008

DR ASYRAF - PEMIMPIN PEMUDA YANG PERLU DIKETENGAHKAN


Berbual dengan Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai politik UMNO, ia mengambarkan isi hati generasi muda anggota parti itu.

Dr Asyraf baru berusia 32 tahun. Matang dan perlu diketengahkan dalam kepimpinan UMNO masa depan. Pada Pilihanraya Umum lalu, beliau bertanding atas tiket BN di Parlimen Tumpat tetapi kecundang.

Anak Dato' Dusuki Ahmad tokoh pengajian Islam dari Kelantan ini, berhasrat bertanding kerusi Ketua Pemuda UMNO Tumpat. Tetapi tau-tau sajelah, mereka yang berkebolehan dan berpelajaran sepertinya selalu akan cuba dicantas.

Namun kerana 'sekelumit' semangat dalam dirinya yang mahu membela bangsa, itulah sahaja yang menyebabkan beliau terus dengan UMNO.

Beliau kini bertanggungjawab sebagai Ketua Penyelidik di Akademi Penyelidikan Syari'ah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA). Pendapat beliau yang bernas mengenai beberapa perkara menyebabkan media sering membuka ruang kepadanya.
Berikut antara profil beliau;
Dilahirkan pada 14 Mei 1976, merupakan cahayamata ketiga kepada Dato' Haji Dusuki Ahmad dan Datin Hajjah Nik Nooraini Nik Yahya. Beliau sudah berumah-tangga dengan Dr. Nurdianawati Irwani Abdullah (Penolong Professor, Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa) dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu 'Ammar Asyraf Wajdi (6 tahun), 'Affaf Asyraf Wajdi (3 tahun) dan 'Affan Asyraf Wajdi (3 bulan). Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAP Labu), Negeri Sembilan.
Dalam pengajian pendidikan tinggi, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Perakaunan serta mendapat Anugerah Pelajar Terbaik (Anugerah Rektor) di Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tahun 2000.
Beliau telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Perakaunan Peringkat Kebangsaan daripada Malaysian Association of Certified Public Accountant (MACPA) dan Hadiah Pingat Emas untuk Anugerah Graduan Terbaik bidang Perakaunan Peringkat Kebangsaan yang dianugerahkan oleh Harvard Business School Alumni Club of Malaysia.
Dr. Asyraf Wajdi meneruskan pengajian sarjana (M.Sc with distinction in Islamic Economics, Banking and Finance) dan Ijazah Kedoktoran (Islamic Banking and Finance) di Universiti Loughborough, United Kingdom.
Beliau pernah bertugas sebagai Penolong Professor dan pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum meletakkan jawatan untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen P.019 Tumpat pada Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008.
Penglibatan dalam bidang perbankan dan ekonomi Islam diteruskan dengan pembabitan beliau sebagai ahli kepada International Association for Islamic Economics dan penulisan jurnal/makalah akademik tempatan serta antarabangsa.
Beliau juga adalah Ahli Panel Syariah Affin Islamic Bank. Dalam bidang latihan dan pembangunan modal insan, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga terlibat dalam memberi latihan dan ceramah untuk kakitangan institusi seperti Petronas Gas Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank), RHB Bank, Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), dan Bank Negara.
Dalam aktiviti masyarakat, Dr. Asyraf Wajdi banyak terlibat dengan program Kementerian Belia dan Sukan melalui persatuan belia. Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1999-2000, Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) dan menjadi ahli kepada Majlis Perundingan Belia Nasional (MPBN) 2000-2001 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia.
Dr. Asyraf Wajdi juga telah dilantik menjadi pakar rujuk Majlis Perundingan Belia Wilayah Persekutuan bermula tahun 2006.
Kini beliau menjadi panel penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan penulis di Ruang Agama, Mingguan Utusan pada setiap minggu. Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga telah diamanahkan menjadi Pengerusi Yayasan Darul Hanan sebuah yayasan yang menjalankan program pendidikan dan kebajikan di Tumpat, Kelantan.

No comments: