Sunday, March 30, 2008

UMAT ISLAM DI MALAYSIA HARUS BERSATU MENENTANG PENGHINAAN

Pelbagai reaksi umat Islam muncul berikutan penayangan filem pendek, FITNA oleh pengeluar filem Belanda, Geert Wilder.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu filem yang menghina Al-Quran itu ditolak oleh umat Islam di seluruh dunia, tidak ketinggalan umat Islam di Malaysia.

Penghinaan ini menurutnya tidak boleh diterima kerana Al-Quran merupakan kitab suci umat Islam.

"Penghinaan terhadap Al-Quran merupakan penghinaan kepada orang Islam di seluruh dunia. Penghinaan ini tidak dapat diterima apatah lagi kerajaan Belanda seolah-olah lepas tangan dengan kerja jahat daripada penerbit filem Belanda ini", katanya.

Sehubungan itu umat Islam diseru supaya tidak melayari internet yang memaparkan filem FITNA. Orang bukan Islam di Malaysia juga diminta supaya menolak dan tidak mempercayai kandungan yang menghina agama lain dan di luar amalan bertoleransi beragama di Malaysia.

Dalam kenyataannya beliau mengesa umat Islam di Malaysia bersatu dan mengenepikan perbezaan pegangan politik demi kepentingan Islam keseluruhannya, kerana penghinaan seperti itu harus ditentang oleh semua.

"Perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia akan menyebabkan penghinaan seperti ini tidak dapat ditangani secara bersama dan akan diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam untuk terus menghina kita", tambah Datuk Dr Zahid.

No comments: