Tuesday, April 12, 2011

SIC SESAK


Sekali lagi saya berpeluang hadir menyaksikan perlumbaan Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Kehadiran kali ini kerana mahu menemani
isteri yang belum berpeluang ke sana.

Dulu pernah saya tiba agak awal sebelum perlumbaan puncak iaitu kira-kira jam 10 pagi.

Biasanya dalam perjalanan menghampiri kawasan litar, ada papan tanda mengarahkan pemandu membeli pelekat pakir kereta.

Bas shuttle untuk pameran dan tidak digunakan sepenuhnya.

Namun kali ini sebelum tiba ke kawasan litar, terpampang papan tanda menyatakan bayaran pakir RM50 (flat rate) tanpa mengarah pemandu membeli dahulu pelekat berkenaan.

Dan apabila tiba di kawasan litar, sudah panjang kereta berbaris. Kami diarah ke kawasan luar litar yang agak ke dalam. Laluan ke kawasan menuju litar sudah ditutup dan hanya dibuka kepada kenderaan tertentu.

Bukan lagi RM5, sudah RM50 (flat rate) kadar biasa di SIC. T-shirt kanak-kanak yang paling murahpun RM55.

Begitulah F1, semuanya mahal. Harga meletak kereta di bawah pokok sawit dikenakan bayaran RM50. Kawasan itu pula jauh dari Grandstand berbumbung, tempat kami menonton. Nasib baik kami tidak menunggu lama kerana apabila kami tiba di tepi jalan, secara kebetulan bas shuttle tiba untuk membawa ke pintu utama SIC.

Pada hari kemuncak perlumbaan Ahad lalu lebih 65 ribu orang hadir. Dan sepanjang tiga hari F1 berlangsung lebih 105 ribu orang hadir. Jadi bayangkan berapa banyak kenderaan yang perlu diurus laluannya oleh polis trafik.

Kesannya , ketika pulang kesesakan amat teruk. Dan mengambil masa kira-kira dua jam sebelum dapat melepasi bulatan berhampiran terminal KLIA. Kesesakan berpunca daripada tiada laluan alternatif. Walau dari mana kenderaan dilencungkan, akhirnya akan bertemu juga bulatan yang menjadi punca kesesakan itu.

REAKSI :

PADA hari Ahad lalu saya berpeluang melihat kehebatan F1 di Sepang. Saya memperoleh tiket sumbangan seorang kawan. Kami berada di kawasan F iaitu Grandstand F (berbumbung) yang berharga RM400. Malangnya harga tiket tersebut tidak berbaloi.

Yang saya maksudkan ialah ruang solat yang amat menyedihkan. Ia berada di bawah tempat duduk penonton dan hanya dibuat daripada papan. Malah tiada papan tanda surau.

Apabila masuk pula, lagi menyedihkan. Tiada karpet atau tikar plastik, sejadah pula tiada. Yang ada cuma plastik sampah hitam. Ini memalukan.

Rata-rata yang sembahyang di situ ada juga orang Arab. Bayangkan reaksi mereka dengan tiket mahal yang dibeli. Adakah SIC tidak mampu menyediakan surau yang selesa di Grandstand yang mahal ini? Adakah mereka menyangka tiada orang Muslim yang melihat F1 di Granstand F?

Selesa - surau berhampiran kawasan berbumbung 'Diamond'

Komen : Alhamdullilah, kami berpeluang menonton di tempat berbumbung 'Diamond' bertentangan dengan bilik VVIP dan pentas menyampaian piala. Dan surau berhampiran alhamdullilah bersih dan besar serta lantainya berlapik kayu pakir dan berhawa dingin. Namun kerana jemaah ramai, kami bergilir-gilir mengambil tempat bersolat.

FAKTA :

Vettel takluk Sepang

SEPANG - Juara dunia, Sebastian Vettel mempertahankan kejuaraan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia 2001 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Selain kejayaan Vettel yang sekali lagi menawan Litar Sepang, turut mendapat perhatian di kalangan peminat tempat apabila pasukan yang mempunyai kaitan dengan Malaysia Lotus Renault sekali lagi menaiki podium selepas GP Australia dua minggu lalu, kali ini giliran pelumba Jerman, Nick Heidfeld yang menduduki tempat ketiga.

Kejayaan Heidfeld amat istimewa kerana ia dicatatkan di depan penyokong tempatan.

Sepanjang tiga hari GP Malaysia 2011, sebanyak 105,018 peminat F1 menyaksikan perlumbaan.

Tempat kedua milik pelumba McLaren, Jenson Button.

Sejak awal perlumbaan, Vettel, 23, mempamer dominasi apabila mendahului perlumbaan tanpa mampu dicabar oleh pemandu yang bersilih ganti berada di belakangnya untuk dia mencatat keputusan terpantas 1:37: 39.832s.

Pelumba kelahiran Jerman itu berkata, kejuaraan kali kedua yang dimenangi musim ini masih belum meletakkan dirinya pada kedudukan selesa kerana saingan masih terlalu jauh, kerana musim 2011 baru bermula.

"Lihat sahaja tahun lalu, Fernando Alonso (Ferarri) berjaya memberikan saingan sengit kepada saya, apa yang penting ialah mengekalkan momentum pada perlumbaan seterusnya kerana selepas ini kami akan ke China," katanya.

Mengulas mengenai penggunaan Sistem Tenaga Kinetik Sayap Belakang (KERS), Vettel memberitahu penggunaan sistem tersebut lancar dan memuaskan di sepanjang perlumbaan.

Sementara itu, pemandu McLaren, Jenson Button mengekalkan prestasi konsisten sejak awal perlumbaan untuk berada pada kedudukan tiga dan empat, namun, pelumba itu berjaya memperbaiki kedudukannya di tempat kedua ketika saingan berbaki 10 pusingan.

Rakan sepasukan, Lewis Hamilton yang pada awalnya berada di hadapan, tetapi disebabkan pemandu Britain itu mengambil masa terlalu lama melakukan hentian pit, ini membolehkan Button memintasnya untuk berada di tangga kedua sehingga tamat perlumbaan.

Button yang mencatat masa 1:37:43.093s ketika ditemui pemberita memberitahu, perlumbaan GP Malaysia kali ini amat mengelirukannnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan terlalu banyak hentian pit dilakukan.

"Saingan di Sepang amat sukar diramal, saya benar-benar keliru dan cuba untuk memahami berapa banyak hentian pit perlu dilakukan agar pertukaran tayar dapat dibuat," ujarnya.


Wednesday, April 6, 2011

BB

This is from BB.

Entri di atas ini adalah dari Blackberry. Tetapi saya masih tidak faham bagaimana untuk membuat entri. Kadang-kadang boleh, kadang-kadang tak boleh. Begitu juga menggunakan smartphone HTC HD Desire. Tajuk entri boleh ditulis namun teks kandungan tidak boleh. Ada cara lain ke?

Monday, April 4, 2011

MESYUARAT CAWANGAN


Foto : Imam Haji Nik membakar semangat ahli ketika mengambil bahagian dalam sesi penangguhan.
Mesyuarat Agung Cawangan Pusat Bandar Puchong kali ini diadakan pada sebelah malam. Malam minggu lepas di kawasan tanah lapang berhampiran surau Al-Husna.

Sebahagian jemaah masjid Al-Husna bersolat Maghrib dan Isya' di surau berkenaan bagi memudahkan mereka membakar ikan dan hadir pada mesyuarat itu.

Namun saya tidak dapat turut serta dan hanya menyertai mereka pada mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam.

Perjalanan mesyuarat seperti biasa 'short and sharp'. Setiausaha dan bendahari empat peringkat hanya membacakan teks 'sila rujuk laporan tahunan bla...bla.....".

Pada akhir mesyuarat hanya peringkat cawangan membentangkan usul, mahu kerajaan persekutuan mengambilalih sekolah agama yang ditadbir kerajaan negeri.

Ketua cawangan dalam ucapan penangguhan mahu ahli merapatan barisan, membuang sifat dengki dan sikap mahu khianat pada bangsa. Sebelum itu Ketua Penerangan cawangan mahu semua ahli merenung diri dan berfikir - Melayu kini semakin melayu!

Daripada lebih 400 pengundi Melayu di Pusat Bandar Puchong, kira-kira 460 menjadi ahli parti. Lebih dua ribu pengundi adalah daripada kaum Cina manakala India hampir 400 orang.

Saturday, April 2, 2011

LANGKAH ATASI KESESAKAN DI LDP

Syarikat konsesi kepada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) memperuntukkan RM312 juta bagi melaksanakan projek LDP 5 membabitkan empat pakej bagi tempoh empat tahun bermula 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak, Sazally Saidi, berkata keempat-empat pakej yang dijangka siap menjelang penghujung 2012 depan itu bakal mengatasi masalah kesesakan trafik yang berlaku di empat plaza iaitu Tol Plaza (TP) 1 (Penchala), TP2 (Petaling Jaya Selatan), TP3 (Puchong Barat) dan TP4 (Puchong Selatan). Menurutnya, pelaksanaan keempat-empat pakej berkenaan adalah antara inisiatif Litrak untuk menyelesaikan masalah trafik bagi keselesaan pengguna sama ada pengguna bertol mahu pun pengguna bebas tol.


“Ketika ini, terdapat seramai 470,000 pengguna bertol manakala 1.4 juta lagi adalah pengguna bebas tol yang menggunakan LDP setiap hari dan penambahbaikan ini diyakini mampu memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya ini.

“Dalam projek LDP5, ia membabitkan kerja-kerja menaik taraf persimpangan bertingkat Puchong Intan, pelebaran lebuh raya dan menaikkan taraf lorong plaza tol dengan menyediakan lebih banyak lorong Smart TAG dan Touch n Go serta memperbaiki keberkesanan lorong antara pertukaran (interchange),” katanya

Hari-hari aku terpaksa menghadapi kesesakan macam ini. Selepas membayar tol, terpaksa berbaris menyertai kesesakan di hadapan. Perjalanan yang hanya memakan masa 15 minit, terpaksa mengambil masa sehingga lebih sejam. Tidak boleh dijangkakan, sehingga kadang-kadang terlepas mesyuarat pagi.

Balik malam jam 10, masalah sama masih berlaku.


Sunday, March 27, 2011

PERTAMA KALI


Sudah lima tahun Akademi Al-Quran (AQ) diadakan di TV9. Sudah banyak kali jemputan untuk menghadiri siaran langsung final AQ diterima. Tapi baru tahun ini berkesempatan menghadirkan diri.

Kesempatan itu bertitik tolak daripada jemputan yang dibuat dengan memberikan 20 tiket untuk menonton secara live dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kepada kariah masjid Pusat Bandar Puchong.

Ia bermula apabila seorang jemaah masjid meminta saya untuk menyediakan tiket berkenaan. Ini kerana pada tahun-tahun sebelumnya beliau dan isterinya turut diajak oleh jemaah masjid lain menghadiri final program itu.

Kini baru saya tahu rupanya ramai yang berminat dan berhajat untuk menghadiri program live dari PICC itu.Di samping tiket itu, saya juga mendapat kad jemputan untuk hadir pada program berkenaan. Namun ia hanya diterima dua hari sebelum hari final. Saya juga diberi peluang untuk menjemput beberapa pasangan tetamu lain.

Kebetulan malam itu saya membawa dua lagi pasangan rakan sejiran untuk sama-sama hadir menyaksikan program live final AQ. Bagi saya dan sapasang lagi rakan, ini adalah kali pertama kami menghadirkan diri. Sepasang lagi rakan sudah pernah hadir sebelum ini bersama-sama jemaah masjid lain.
Selepas program selesai, kami dijemput untuk menyertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Pengerusi Media Prima ke jamuan ringan di aras satu.

Saya turut sempat bergambar bersama penyanyi nasyid dari Indonesia, Haddad Alwi yang diundang khas bagi menyerikan program berkenaan.

Sesungguh kami amat teruja dengan mutu bacaan peserta finalis AQ. Muda tetapi mahir dalam bacaan mereka. Sebaik sahaja keluar dari dewan, rakan saya mengingatkan saya supaya tidak lupa menjemput mereka lagi tahun hadapan.

Dalam perjalanan pulang, kami sempat berposing walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1:00 pagi.

Peserta dari Sabah, Mohd. Syahriansyah Apin, 25, muncul juara pertandingan akhir program realiti terbitan TV9, Akademi al-Quran musim kelima (AQ5) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Kemenangan itu membolehkan Mohd. Syahriansyah membawa pulang wang tunai RM30,000 dan senaskhah al-Quran bertinta emas.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini turut membawa pulang pakej pelancongan ke Syria, perabot jati, pakej mengerjakan haji dan umrah, barangan songket, hamper dan sebuah trofi yang bernilai kira-kira RM150,000.

Mohd. Syahriansyah turut mendapat tajaan biasiswa bagi melanjutkan pengajiannya ke mana-mana cawangan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU).

Sementara itu, ketiga-tiga peserta lain, Mohamad Husaini Mahmur, 19, Suhailah Zulkifly, 22, dan Muhamad Nasir Muhamad Salleh, 21, membawa pulang sagu hati berupa wang tunai RM2,000, biasiswa menyambung pengajian di MEDIU, pakej mengerjakan haji dan umrah, barangan songket, hamper serta trofi.

Hadiah pemenang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Pengerusi Media Prima Bhd., Datuk Johan Jaafar.

AQ merupakan program realiti TV tempatan pertama yang memerlukan peserta memperdengarkan bacaan al-Quran mengikut kaedah tertentu.

Semua hadiah adalah tajaan daripada TV9, Yayasan Restu, MEDIU, Gemilang Travels & Tour, Al-Fajr Travel, Wan Manang, Jatimas, TH Global, Hiraq Marketing & Trading

Wednesday, March 23, 2011

TAHNIAH FARRIS HELMY

Hari ini saya mengambil cuti untuk menemani anak ketiga Muhammad Farris Helmy mengambil keputusan SPMnya di sekolah di Shah Alam. Sejak semalam sehingga hari ini, Farris nampak lebih cool sahaja, berbanding mamanya yang lebih gelisah menanti keputusan itu.

Selepas menghantar anak bongsu ke sekolah kebangsaan pada sebelah tengahari, saya dan isteri membawa Farris ke sekolahnya. Sebelum itu kami mengambil seorang rakannya yang mahu menumpang bersama. Rakannya itu bekerja sementara di IOI Mall dan tidak mendapat cuti serta tiada kenderaan untuk membawanya mengambil keputusan.

Keputusan SPM Farris dengan mendapat 8A, 1B dan 1C membuatkan mamanya menangis dan tersedu-sedu kegembiraan. Hari ini mamanya dihujani panggilan telefon daripada sanak saudara dan kenalan bertanyakan keputusan SPM Farrris.

Sehingga ke malam Farris masih cool tetapi mamanya masih excited. Namun perjalanan Farris selepas ini masih panjang sekali gus memerlukan usaha lebih gigih lagi. Tahniah Farris daripada Abah!

Tuesday, March 22, 2011

BLUE OCEAN STRATEGY - APA TU?

Blue Ocean Strategy adalah sebuah buku strategi perniagaan yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2005.

Buku ini ditulis bersama oleh W.Chan Kim dan Renée Mauborgne dari The Blue Ocean Strategy Institute di INSEAD.

Buku berkenaan mengenai pendapat penulis berhubung keuntungan dan pertumbuhan mampan sesebuah organisasi.

Ia dapat dijana melalui pengwujudan permintaan baru dalam pasaran yang tidak mempunyai ruang bersaing atau lebih dikenali sebagai "Blue Ocean".