Monday, November 2, 2009

KENYATAAN MUFTI PERLIS TERHADAP PENAHANAN DR ASRI

KENYATAAN DR JUANDA JAYA, 02 NOVEMBER 2009

Saudara Pemberita/Pengarang
A. KECEWA
1. Saya pasti seluruh Negara gempar dengan peristiwa tengah malam 01/11/09 yang menyaksikan seorang bekas Mufti - suatu jawatan tertinggi agama di Malaysia -Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin, telah ditangkap oleh pihak berkuasa agama atas alasan tiada tauliah untuk mengajar agama Islam.
2. Seluruh Negara gempar sekali lagi apabila pihak berkuasa agama ini gagal menjalankan tugas pendakwaan yang dijanjikan pada 02 November 2009.
3. Saya amat kecewa kerana insiden seperti ini yang pernah beberapa kali berlaku kepada pihak lain pasti mengaibkan agama Islam dan pihak berkuasa agama, terlebih lagi ia berlaku terhadap seseorang yang sepatutnya dihormati kedudukan keagamaannya, tetapi dinafikan haknya untuk mengajar agama yang mana dia sendiri menjadi rujukan dalam urusan agama.

B. DAKWAH DAN DIALOG
4. Melihat kepada cara penahanan ini dilakukan saya percaya ada perkara yang tidak kena pada pengurusan perkara ini yang nampak lebih bersifat dendam peribadi pihak tertentu yang mahu mengaibkan pihak yang lain melalui permainan salah guna kuasa.
5. Usaha menyebarkan Islam dan memberikan KEFAHAMAN ISLAM YANG SAHIH menurut sumber yang asal daripada al-Quran dan al-Sunnah hendaklah disokong agar umat Islam terus maju ke hadapan dan keluar daripada kepompong taqlid yang memundurkan umat Islam.
6. Pihak berkuasa agama sewajarnya mengambil pendekatan NASIHAT DAN DIALOG secara bersemuka dengan pihak yang tidak disenangi, bukannya menjadikan penggunaan kuasa sebagai cara yang pertama dan utama.

7. Saya mencadangkan agar isu khilaf dibincang secara DIALOG TERBUKA di hadapan pihak berkuasa agama dan KETUA AGAMA NEGERI agar wujud sikap saling menghormati antara satu sama lain, agar dapat dicari mana satu pandangan yang sahih dan sebaliknya.
8. SEJARAH Malaysia sudah mencatitkan perkara khilaf adalah suatu yang lumrah, bahkan pihak Raja-Raja Melayu pernah menuntaskan perkara ini secara yang amat professional iaitu melalui dialog secara terbuka seperti yang pernah berlaku di Istana Kelantan pada zaman TOK KENALI. Ia juga pernah berlaku di Istana Selangor dan Istana Kedah.
9. Agama Islam meletakkan nasihat dan dialog ilmiah (hiwar ‘ilmiy) sebagai cara menyelesaikan masalah. Penggunaan kuasa ada adab dan caranya, apatah lagi terhadap para ulama yang tidak wajar dilayan dan diherdik umpama penjenayah. Apakah wajar wang rakyat dihabiskan sehingga perlu seramai lebih 50 anggota Jabatan Agama dan Polis dibelanjakan untuk operasi menghalang ceramah agama ini?
10. Sewajarnya pemantauan ceramah dilakukan terhadap penceramah yang mencalarkan imej Islam dengan cerita dusta dan dalil daripada hadis palsu serta mengajak umat Islam beramal dengan amalan yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Hadis, bukannya menghalang ceramah yang bersifat akademik dan berhujah dengan dalil.

C. TAULIAH
11. Isu TAULIAH MENGAJAR AGAMA adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah. Ia adalah suatu peraturan yang BERSIFAT DUA MATA yang boleh membunuh tuannya jika disalahgunakan. Ia akan lebih parah jika ia digunakan oleh pihak tertentu yang berselindung di sebalik kedudukan sebagai penemuduga atau penyemak kelayakan mereka yang hendak diberi tauliah.
12. Suatu yang pasti, mereka yang menapis pemberian tauliah perlu ada ketelusan dari sudut prosedurnya kerana mereka bertindak bagi pihak berkuasa agama dan Ketua Agama Negeri berkenaan. Apakah benar wujud suatu STANDARD DALAM PROSES PEMBERIAAN TAULIAH ini sehingga mereka yang berkelulusan agama dari institusi Tinggi Islam yang diiktiraf pun perlu ditapis dan diselidik? Adalah tidak logik mereka yang lebih rendah kemahirannya untuk menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahiran daripadanya?
13. Generasi muda Islam semakin berminat dengan penyampaian dakwah oleh generasi muda yang progresif dan berfikiran terbuka. Apakah kerana ceramah seseorang itu menarik demikian ramai orang muda dan memberi kesedaran kepada banyak pihak menjadi punca persoalan tauliah dipertanyakan? Apakah tidak memadai dengan pengiktirafan istitusi pengajian tinggi dan pengiktirafan pihak berkuasa sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia untuk melayakkan seseorang itu mengajar agama?

D. MKI
14. Sudah sampai masanya pihak berkuasa tertinggi Negara iaitu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri bersidang untuk mengkaji semula pengurusan dan peranan agensi yang melaksanakan urusan agama bagi pihak pemerintah dan Raja-Raja Melayu agar pengamalan Islam di Negara ini menepati kehendak al-Quran dan al-Hadis.

DR JUAND A JAYA,
MUFTI KERAJAAN NEGERI PERLIS
Kuching, 02/11/2009

Saturday, October 31, 2009

MASIH AMAL SISTEM FEUDAL UNTUK TADBIR SEKOLAH

Tak faham. Setiap tahun perkara yang sama perlu dilakukan. Tiada sistem penyimpanan data dan rekod pelajar yang kemas dan teratur.

Sakit hatipun ada. Setiap tahun ibubapa dikehendaki mengisi butiran peribadi yang sama secara manual. Nama penuh, kad pengenalan, pekerjaan, tangga gaji dan entah apa lagi……

Satu lagi yang memualkan, anak yang sudah masuk tahun kelima dikehendaki mengisi borang kemasukan ke asrama sebagaimana ketika dia menjejaki kaki ke tingkatan satu dahulu.

Kalau perlu cemerlang akademik dan sahsiah diri dan disiplin, itu tak jadi soal sebagai syarat kemasukan semula. Ini yang diminta; borang perlu diserahkan dengan sampul surat dan bersetem, salinan sijil-sijil, salinan sijil lahir dan kad pengenalan pelajar. Dokumen yang sama dulu mana perginya?

Lagi satu yang menjadi menyampah, terpaksa mencari saksi di kalangan penghulu, ketua kampung, pengawa atau pegawai kumpulan A. Ini berlaku setiap tahun di sekolah dan asrama yang sama. Pihak sekolah dan warden tak kenal ke anak didiknya yang sudah tinggal di asrama dan belajar di situ hampir lima tahun?

Apabila isteri menceritakan perkara itu kepada pengetua sebuah sekolah untuk mendapatkan tandatangan sebagai saksi, diapun terkejut beruk. Itu belum terpaksa berbaris di kaunter Pejabat Pos untuk membuat 'money order' bayaran tambahan PIBG sebanyak RM20.

Adakah kaedah ini memang menjadi amalan sekolah-sekolah yang berasrama? Kalau tidak, Kementerian Pelajaran atau Jabatan Agama Islam Selangor yang bertanggungjawab terhadap Sekolah-Sekolah Agama Menengah Tinggi di negeri itu, mengambil inisiatif memantau sistem pentadbir sekolah yang masih mengamalkan sistem feudal ini.

Wednesday, October 28, 2009

BARAH TIDAK PERLUKAN UBAT KLINIKAL

BARAH adalah penyakit yang akan terus merebak dan memberi ancaman jika puncanya tidak dihapuskan. Namun barah juga tidak memberi erti secara literalnya sebagai penyakit yang memerlukan ubat klinikal.

Dalam kontak organisasi, kewujudan kakitangan yang dianggap barah juga akan mencetuskan situasi tidak sihat. Maka akan berlakulah masalah yang tidak berkesudahan - dengki mendengki, iri hati dan menganggap diri sendiri lebih baik daripada yang lain, jesteru tidak boleh disentuh.

Barah ini akan menganggap kemerosotan prestasinya - sering datang lewat, tidak tumpu kepada tugas dan MIA sebagai berpunca daripada masalah orang lain. Situasi itu jika tidak dibendung akan menjejaskan prestasi organisasi itu secara keseluruhan.

Ubat untuk mengurangkan serangan barah itu boleh diaplikasikan dengan pelbagai cara termasuk nasihat, amaran dan surat tunjuk sebab, namun ia tidak berkesan untuk jangka panjang.

Langkah yang paling efektif, mengeluarkan kakitangan yang menjadi barah atau duri dalam daging.

Renungan : Orang yang berjaya adalah mereka yang menggunakan masalah yang dihadapi sebagai peluang.

ARAFAH - SETAHUN BERLALU


Padang Arafah sekali lagi bakal menerima tetamunya pada hari Wukuf nanti. Jutaan umat Islam akan berhimpun di kawasan ini dan menjadikannya sebagai perhimpunan umat manusia terbesar di dunia. Seminggu sebelum wukuf pekerja kontrak akan sibuk mendirikan khemah-khemah jemaah yang dikendalikan muasasah. Di kawasan perkhemahan Asia Tenggara ini, biasanya penempatan jemaah Malaysia berada bersebelahan jemaah dari Indonesia. Khutbah hari wukuf sesuatu yang amat hening dan sayu.......banyakkan doa dan minta sesuatu yang baik daripada Allah. Insyaallah diperkenankan.

Saturday, October 24, 2009

SIARAN 'BAJET' YANG PALING SUKAR DISEDIAKAN

Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri siang tadi banyak memberi manfaat kepada rakyat jelata sejajar dengan slogan ‘rakyat diutamakan’.

Namun bagi sebahagian pengamal media terutama kakitangan media elektronik yang terlibat secara langsung menyediakan produksi siaran langsung pembentangan bajet, ia sesuatu yang paling sukar dilakukan.

Biasanya sebelum pembentangan, pegawai dari Perbendaharaan akan membawa salinan teks ucapan diiringi beberapa orang anggota polis ke bilik berita.

Tahun-tahun sebelum ini mereka tiba pada sekitar jam 10 hingga 11 pagi. Namun sejak setahun dua ini mereka semakin lewat tiba. Kelewatan berlaku kerana dikatakan ada beberapa pindaan pada teks ucapan pada saat akhir.

Tetapi tahun ini kelewatan agak keterlaluan iaitu kira-kira jam 12 tengahari.

Tim produksi diketua seorang penerbit kanan semakin gelisah. Grafik, slide dan visual perlu disediakan lebih awal berdasarkan teks ucapan itu.

Tolak masa untuk bersolat Jumaat dan makan tengahari, mereka hanya ada satu setengah jam untuk menyiapkan semua keperluan produksi itu.

Lagi memeningkan kepala mereka bila pegawai Perbendaharan yang datang tahun ini tidak membenarkan mereka yang dikuarintin menyentuh teks ucapan itu, kononya untuk memelihara tahap Embargo.

Walaupun borang menyimpan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi ditandatangani, kali ini mereka tidak dibenarkan memiliki sesalin teks ucapan itu.

Buat pertama kali sejak puluhan tahun, kandungan teks dibacakan oleh pegawai Perbendaraan untuk diambil nota oleh petugas produksi di bilik tertutup.

Hasilnya, ketika ucapan pembentangan bajet, tiada banyak grafik, slide dan visual dapat disediakan untuk kemudahan penonton.

Monday, October 19, 2009

TV3 BUKAN KILANG JADI SOMEBODY

Ramai bekas kakitangan TV3 hadir pada majlis Aidil Fitri di Sri Pentas hari ini. Bertemu rakan lama, banyak cerita yang menarik daripada mereka. Ada yang jadi usahawan, bekerja dengan menteri, tapi tak ramai yang jadi ‘somebody’.

Mungkin TV3 bukan kilang untuk jadi somebody tetapi cukup setakat jadi busy body yang lebih baik daripada jadi celebrity.

Saya lebih suka jadi no body.

Sunday, October 18, 2009

LAPORAN HAJI TV9 BERMULA


Foto Fail : Kumpulan Media 2008

Musim haji bermula. Kali ini Rangkaian Televisyen Kumpulan Mediaprima masih menghantar krew untuk membuat liputan di Tanah suci. Mereka terdiri daripada seorang wartawan diwakili Pengarang Tugasan TV9 (Ghoni Ahmad) dan jurukamera TV3 (Zubir Kassim).

Mereka sudah berlepas ke Makkah pada 15 Oktober lalu dan memulakan laporan semalam (17 Oktober).

Tidak seperti tahun lalu, kali ini Tabung Haji mengenakan bayaran lebih RM12,000 seorang untuk semua kos sepanjang musim haji. Dengan syarat baru itu, RTM tahun ini tidak menghantar wakilnya ke sana. Dan kumpulan Mediaprima juga dikatakan menimbang untuk menjadikan krew ini sebagai kumpulan terakhir bersama Tabung Haji.

Tahun-tahun sebelum ini Tabung Haji bersifat pemurah dan bertolak ansur untuk melaksanakan tanggungjawab sosial bersama.

Dengan liputan media yang meluas diberikan kepada Tabung Haji, dan ruang akhbar dan masa siaran yang percuma diberikan bagi laporan haji setiap hari, kini Tabung Haji masih rela untuk mengenakan bayaran itu.

Namun demi faedah jemaah haji dan keluarga yang ditinggalkan, TV9 dan TV3 masih sanggup mengetepikan semua kekangan itu bagi melaporkan perkembangan jemaah haji di Madinah, Makkah, Arafah dan Mina.

Semuga usaha kami diberkati Allah.