Tuesday, November 11, 2008

TIBA DI MAKKAH AWAL PAGI

Foto : berihram sebelum bertolak ke Makkah.

Foto : bergambar di mikat, Bir Ali ketika membuat tinjauan tempat berniat Ihram.
Saya tiba di Makkah dari Madinah kira-kira jam 2 pagi tadi. Setengah jam selepas tiba, saya dan rakan-rakan mengerjakan tawaf dan sa’ie. Dan selepas bertahlul dan membotakkan kepala saya menyertai jemaah solat subuh.

Kami berehat sebelum menyertai solat Zuhur.

Saturday, November 8, 2008

KEMUDAHAN JEMAAH DI MADINAH DIPERTINGKATKAN

Foto : Bersama Azhari di samping kereta untuk bertugas di Madinah

Pembesaran Masjid Nabawi dilakukan pada masa ini. Ia termasuk membina lebih banyak tempat berbumbung di sekitar masjid. Setiap bumbung berpayung yang berkeluasan 26 meter boleh menempatkan 800 jemaah pada satu satu masa.

Di bawah pelan pembesaran itu ruang tambahan yang memuatkan kira-kira 270 ribu jemaah akan dilaksanakan termasuk meningkatkan kemudahan prasarana lain. Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Projek itu dilancarkan tahun 2006 lalu ketika Raja Abdullah melakukan lawatan ke Masjid Nabawi. Menurut Gabernor Madinah, Putera Abdul Aziz Bin Majed, projek perluasan itu dianggarkan menelan belanja kira-kira 4.7 bilion Riyal.

Di bawah projek itu juga, kawasan kenderaan dan tempat meletak kereta turut dibina. Ketika ini tempat meletak kereta di bawah tanah telah disediakan di dua aras. Ia terletak di ruang terbuka kawasan masjid di bahagian utara, selatan dan barat. Sejumlah 4,444 kereta dapat ditempatkan di ruang seluas 290 ribu meter persegi itu.

Selain itu projek pengangkutan diantara Makkah dan Madinah juga akan turut dilaksanakan. Yang dikenali sebagai Makkah-Madinah Rail Link (MMRL). Ia dianggarkan bernilai kira-kira 20 bilion Riyal.

Projek itu akan membabitkan tren yang berkelajuan lebih 300 kilometer sejam. Dan akan mengurangkan tempoh perjalanan di antara Makkah dan Madinah selama 30 minit, manakala diantara Jeddah dan Madinah tidak kurang dari dua jam.

Foto : dari kiri - Rashid (Radio RTM Kedah) dan Haji Nurzilan (Tabung Haji)

Friday, November 7, 2008

JEMAAH MULA BERGERAK KE MAKKAH

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Makkah malam ini (Jumaat). Sebelum meninggalkan Madinah mereka perlu melakukan ziarah wida’ di makam Rasullullah.

Untuk memasuki masjid Nabawi juga perlu ada tertib. Seperti juga di masjid lain, jemaah disunatkan mendahulukan kaki kanan sebelum memasuki masjid. Dan mengucapkan ”Bismillah, wassalamu ’ala Rasulillah, allahuma iftah li abwaba rahmatika”.

Ketika keluar dari masjid disunnahkan untuk mendahulukan kaki kiri dan mengucapkan, ”Bismillah, wassalamu ’ala Rasulillah, allahumma Inni asalua min fadhlika”.

Walaupun tidak termasuk rukun haji, jemaah haji akan merebut peluang untuk melaksanakan solat Arba’in iaitu solat fardhu 40 waktu di Masjid Nabawi sebelum atau selepas menuniakan haji di Makkah.

Wednesday, November 5, 2008

SUASANA DI LUAR PERSEKITARAN MASJID NABAWI

Malam tadi kami berkesempatan meninjau Pusat Perkhidmatan Muasasah Haji yang mengendalikan pasport serta urusan jemaah.

National Adilla Establishment adalah agensi yang diberi tanggungjawab mengendalikan jemaah dari Asia Tenggara termasuk China. Kira-kira 80 ribu jemaah di bawah urusan mereka. Namun bagi jemaah Indonesia yang seramai kira-kira 280 ribu, ada agensi khusus mengendalikan mereka.

Pejabat agensi di bawah Kementerian Haji dan Wakaf Arab Saudi ini tidaklah sehebat mana. Susun atur dan suasana tidak lebih kedai sekolah memandu di kebanyakan tempat di Malaysia. Mana tidaknya, untuk memproses urusan data pasport pun masih di lantai.

Malam tadi juga kami berkesempatan berjalan meninjau stesen Al-Hijrah iaitu pusat pemeriksaan pasport bagi jemaah dari Makkah ke Madinah atau sebaliknya.

Pelbagai suasana dirakamkan di sepanjang perjalanan. Rupanya di pinggir kota, deretan kedai tidak ubah seperti di Dubai. Banyak pakaian wanita yang seksi dipamerkan. Namun pakai itu hanya dipakai ketika bersama golongan sesama perempuan dan ahli keluarga dibenarkan sahaja. Di Madinah merakamkan gambar dilarang keras.

Monday, November 3, 2008

BERSYUKUR BERADA DI MADINAH


Sudah empat hari berada di kota Madinah Al-Munawarah. Alhamdullillah, di samping bekerja setakat ini masih diizinkan Allah untuk bersolat di masjid Nabawi.

Bilangan jemaah saban hari semakin bertambah. Ketika mula tiba malam hari Jumaat lalu hanya jemaah dari Malaysia, Turki dan India yang mendominasi ruang di masjid. Kini pelbagai identiti bangsa dengan pelbagai tanda warna pada pakaian mereka, mula mengisi ruang sehingga hampir ke pintu akhir di sebelah belakang masjid.

Bersolat di Raudah akan melihat jemaah yang amat khuzuk dan tinggi darjat keimanannya. Mereka membaca Al-Quran, bertasbih dan berdoa disamping menunaikan solat-solat sunat.

Di ruang tengah masjid pula, suasana begitu mula berkurangan walaupun masih ramai yang tekun menambahkan amalan-amalan sunat.

Manakala di bahagian belakang, jemaah berpusu-pusu dan berlari-lari apabila Iqamah tamat tetapi mereka belum tiba di ruang solat. Malah ada yang tertinggal satu dua rakaat.

Untuk bersolat di Raudah perlukan pengorbanan masa. Datang awal dan banyakkan bersolat sunat, bertasbih dan membaca Quran. Kerana bebanan kerja kadang-kadang peluang itu terlepas.

Malam ini malam kedua kami bermalam di Hotel Al-Haram. Dua hari lalu kami ditempatkan di Hotel Al-Andalus Dar Al-Khair berhadapan Hotel Movenpick yang menempatkan jemaah Malaysia. Jarak kedua-dua hotel itu hanya kira-kira 50 meter dari pintu pagar Masjid Nabawi.

Foto : Azhari dari TV3 menyediakan laporan berita.

Friday, October 31, 2008

IKUT KUMPULAN 'PETUGAS MEDIA TH' DI TANAH SUCI

Insyaallah, hari ini saya berangkat ke Tanah Suci bersama dengan rakan media lain dari TV3 Azhari Muhidin dan Johan Ghafoor serta Zulkifli dari Bernama.

Adnan Gailan dan Dzulkefli Hassan dari RTM telah berlepas ke Makkah pada 27 haribulan lalu bersama kumpulan peninjau.

Penerbangan kami hari ini dijangka berlepas dari KLIA pada jam 7:30 malam. Namun kami dikehendaki melapor diri di Kompleks Haji Kelana Jaya jam 3:30 petang. Kami dijangka tiba di Madinah kira-kira jam 11:45 malam waktu tempatan.

Selain melapor untuk Berita TV9 pada jam 8:00 malam setiap hari, saya diminta untuk membuat laporan aktiviti di Madinah dan Makkah untuk rancangan bual pagi "Nasi Lemak Kopi O - NLKO" yang bersiaran setiap hari Jumaat hingga Ahad.

Di samping itu Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiarkan di TV3 juga meminta saya membuat laporan setiap pagi Isnin dan Jumaat.

Kepada rakan-rakan pengunjung blog ini, dengan kesempatan ini saya memohon maaf sekiranya ada kesilapan di sepanjang perkenalan kita. Mohon juga didoakan agar saya dipermudahkan segala urusan di sana.

Sunday, October 26, 2008

MAJLIS PADA SKALA KECIL

Semalam kami mengadakan majlis doa selamat secara kecil-kecilan sempena tugasan di Makkah sekali gus bagi mengerjakan ibadah haji.

Ia hanya dihadiri jemaah khariah surau Al-Husna Pusat Bandar Puchong, jiran-jiran dan adik-beradik. Turut hadir kakitangan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV9.

Apa yang kelainan pada majlis ini, tiada katerer terlibat. Kami hanya menyediakan bahan sementara kerja memasak dilakukan oleh kakak-kakak ipar yang dibantu oleh isteri.

Kali ini juga untuk mendapatkan sewaan khemah agak sukar kerana majlis diputuskan dalam masa yang terbatas. Ramai orang mengadakan majlis 'open house'. Nasib baik ada rakan yang sudi menyewakan khemah manakala seorang lagi rakan turut menyewakan bangku-bangku dan meja. Nampaknya bisnes kanopi amat menguntungkan ketika ini!

Dan kerana majlis diadakan masih dalam bulan syawal, ia juga bolehlah dianggap sebagai majlis 'rumah terbuka'.

Apapun terima kasih kepada yang sudi hadir.

Dan kepada rakan-rakan lain jangan kecil hati, belum ada rezeki untuk menganjurkan majlis pada skala yang lebih besar!