Saturday, September 6, 2008

TELEFON BIMBIT WAJAR DIBENARKAN DI SEKOLAH

Mesyuarat AJK PIBG yang saya pengerusikan pagi tadi turut membincangkan masalah pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Pelbagai tindakan dikenakan oleh pihak sekolah tetapi kegiatan membawa telefon ke sekolah terus berlaku.

Menurut pengetua sikap ibubapa yang turut mengalakkan anak-anak mereka membawa alat komunikasi itu ke sekolah, menyebabkan masalah itu berterusan.

Pernah pihak sekolah menyimpan alatan itu sehingga enam bulan, tetapi pengetua menerima ugutan daripada bapa seorang pelajar yang juga seorang pegawai kanan Jabatan Pelajaran.

Ada juga ibubapa yang mahu pihak sekolah menyimpan terus telefon anaknya itu sehingga peperiksaan tamat kerana didapati ia mengganggu pelajarannya.

Pada mesyuarat itu saya mahu pihak sekolah menggunakan budibicara ketika bertindak dalam menguatkuasakan peraturan itu.

Pernah satu ketika peraturan itu dilonggarkan oleh Kementerian Pelajaran. Namun disebabkan desakan beberapa pihak, kelonggaran itu ditarik balik.

Bagi saya kemudahan dan perkembangan teknologi tidak perlu dinafikan. Cuma apa yang perlu dilakukan mengawal penggunaannya supaya tidak mengganggu pembelajaran di sekolah.

Alatan itu kini sangat penting kepada ibubapa terutama untuk mengesan anak-anak mereka, dan penggunaannya tidak perlu disekat.

NAJIB RASMI HOTEL FELDA DI MEKAH

CHINI, 6 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan pembukaan hotel apartmen dan medan selera milik Felda di Mekah pada 20 September ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata hotel bertaraf empat bintang dengan 54 bilik itu merupakan hotel pertama milik agensi berkenaan di luar negara.

"Medan selera milik Felda yang diurus oleh syarikat katering D'Saji itu pula menyediakan masakan Melayu bagi keperluan jemaah dari negara ini.

"Felda kini berjaya meneroka bukan sahaja di sini tetapi juga di luar negara," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada 50 ibu tunggal dan 65 warga emas di Masjid Chini 1 di sini, Sabtu.

Najib berkata dengan pembukaan hotel dan medan selera itu, Felda diiktiraf sebagai organisasi bertaraf multinasional.Beliau berkata hotel yang bernilai RM100 juta itu terletak hanya 50 meter dari pintu Abdul Aziz Masjidil Haram yang memudahkan penginapnya melakukan ibadat di Tanah Suci.

"Hotel itu telah beroperasi sejak awal bulan lepas dan diuruskan oleh Felda Global Ventures Mecca iaitu anak syarikat milik penuh Felda," katanya.
-- BERNAMA

GHAIRAH TAK BERTEMPAT

Mengapalah terlalu ghairah dan tak sabar-sabar untuk berkuasa sehingga menafikan fakta dan hakikat. Hari ini saya menerima beberapa panggilan telefon mengenai kemungkinan ada anggota Parlimen BN yang melompat.

Mereka betul-betul marah dengan dakyah dan gelagat penyokong sebuah pertubuhan politik yang secara kebetulan dapat berkuasa. Berikut beberapa petikan laporan media hari ini (Jumaat), yang menafikan keghairahan mereka.

Laporan 1 :
PETALING JAYA 5 Sept. — Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan laporan sebuah akhbar parti politik tempatan yang mendakwa beliau lumpuh dan berada dalam keadaan nazak selepas menjalani pembedahan pintasan koronari di Institut Jantung Negara (IJN) pada 19 Ogos lalu.

Musa, yang kelihatan sihat dan ceria, berkata beliau kini dalam keadaan yang sihat dan semakin pulih setelah menjalani pembedahan selama empat jam itu dan akan kembali bertugas bulan depan.

Beliau yang berjalan tanpa bantuan tetapi secara perlahan-lahan turut melahirkan rasa kesalnya terhadap berita yang disiarkan dalam akhbar mingguan

"Suara Keadilan" edisi 4-11 Sept 2008, yang seolah-olah menipu rakyat yang sentiasa menantikan perkembangan terbaru mengenai kesihatannya

Laporan 2 :
KUALA LUMPUR 5 Sept. — Agensi berita nasional, Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) malam ini membuat laporan polis terhadap penyebaran berita palsu menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mengenai kononnya tujuh parti komponen Barisan
Nasional (BN) mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan keluar daripada BN.

Laporan polis itu dibuat oleh Pengurus Kanan Teknikal Bernama, Abdul Halim Hafiz yang menyelia trafik perkhidmatan SMS Bernama di Balai Polis Jalan Travers pada pukul 8.45 malam ini.

Abdul Halim dalam laporannya berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama Bernama untuk menyebar maklumat tidak benar kepada orang ramai.
Abdul Halim berkata, daripada siasatannya, Bernama tidak ada mengeluarkan sebarang berita SMS seperti yang disebarkan oleh orang yang tidak diketahui hari ini.

Laporan 3 :
PUTRAJAYA 5 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tidak ada anggota Parlimen Barisan Nasional yang akan meninggalkan parti itu menjelang 16 September ini untuk menyertai pembangkang menubuhkan kerajaan baru.

"Saya pastikan 16 September tidak akan berlaku. Pakatan Rakyat bergantung kepada ahli-ahli parti kita untuk meninggalkan kita tetapi orang kita tidak akan meninggalkan kita," kata Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beberapa kali berkata, bahawa ramai anggota Parlimen BN akan menyertai pembangkang bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan pada 16 September ini.

"Kita tidak akan beri peluang untuk mereka menubuhkan kerajaan pada 16 September.
Tidak," kata Abdullah pada sidang akhbar selepas melancarkan Business Licensing Electronic Support System (BLESS) di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku jika ia hanya berpaksikan kepada faktor penghijrahan oleh anggota BN ke pembangkang.

Sebaliknya, kata Abdullah, adalah lebih wajar jika perhatian diberi kepada usaha meningkatkan kemajuan negara.

"Kerajaan tumpu pada kerja dan bukan memikirkan sesuatu yang mungkin berlaku. Tumpu pada kerja untuk menjadikan negara ini lebih baik, meningkatkan produktiviti dan keberkesanan dan banyak lagi," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memaklumkan segala perkembangan kepada Seri Paduka Baginda.

JEMPUTAN MAJLIS BERBUKA - DATANG 2 JAM AWAL

Nasihat kepada kekawan yang hendak pergi majlis berbuka puasa di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Anda perlu pergi awal sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu berbuka. Kesesakan jalanraya pada bulan Ramadan ini dan ditambah dengan musim hujan - amat tidak diduga.

Kalau rasa hendak berbuka di kereta dan jadi Lebai Malang, pergilah lewat-lewat. Sudahlah tak dapat menyertai majlis berbuka dengan siap berbaju Melayu, tekanan darah dengan tak pasal-pasal meningkat. Jangan buat hal!

Saya hampir mengalami saat itu semalam (KHAMIS). Tapi alhamdullilah, berkat doa, sesampainya ke majlis berkenaan, waktu berbuka bermula. Tak apalah, walaupun terlepas aturcara majlis sebelum itu, saya tidaklah seperti beberapa orang kawan yang lain yang berbuka di kereta!

Friday, September 5, 2008

CATATAN PERJALANAN 'OPS PASIR' - 1

10 Ogos :
Bangun awal pagi untuk ke Pangkalan Udara. Seorang pegawai di Kementerian Pertahanan yang dua kali saya minta mengesahkan waktu berlepas berkata, saya perlu berada di situ sebelum jam 6 pagi.

Tetapi setibanya di balai pengawal jam 5:30 pagi, saya diminta menunggu oleh anggota pengawal TUDM sehingga jam 5:50 kerana dikatakan ada operasi pergerakan udara. Tiada laluan ke situ dibenarkan.

Baru saya sedari, rupanya saya diantara mereka yang paling awal tiba. Dan sementara menunggu masa melepasi 'garisan waktu' (LD), saya menyertai jemaah subuh di masjid berhampiran balai pegawal itu. Imamnya berpakaian celoreng dengan pangkat di bahu. Bacaanya tertib dan lunak.

Setibanya di bangunan berlepas, saya disambut oleh sahabat saya, seorang pegawai kanan wanita berpangkat Kolonel. Saya diminta menunggu penerbangan kedua atau VIP Flight pesawat C130 bersama-sama Editor Kanan yang lain termasuk Datuk Wong Chun Wai (Ketua Pengarang Kumpulan - The Star) dan Datuk Syed Nazri Syed Harun (Ketua Pengarang - NST), Zainudin Ayib (Pengarang Eksekutif - Berita Harian) dan Othman Mohamed (Penolong Ketua Pengarang - Utusan Malaysia).

Jam 8:30 pagi, pesawat yang dipandu Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Azizan Arifffin mula berlepas.

Penerbangan ke Tawau mengambil masa lebih empat jam, iaitu lebih dua jam terkebelakang berbanding pesawat komersil.


PTU diiringi oleh Panglima 2 Div Udara (kiri sekali) selepas mendaratkan C130. Pegawai wanita di depannya ialah Kapt Nazatulrina (ADC PTU)

Dari Tawau kami dibawa menaiki tiga buah bas persiaran yang disewa khas untuk ke Markas Taktikal Kem Wangsa di Semporna.

Rombongan disambut persembahan khas oleh anggota Rejimen Para yang memakai baret meron.

Jamuan tengahari diberikan oleh anggota pasukan Markas Tentera Bersama serta penganjur.
Selepas jamuan, taklimat operasi diberikan oleh Panglima ATB2, Brig Jen Sheikh Mohsein Sheikh Hassan.

Taklimat yang diberi mendedahkan kepada kami mengenai peranan Markas Tentera Bersama dalam menyelaras operasi membabitkan ketiga-tiga cabang ATM termasuk aset mereka.
Antara ancaman yang dihadapi di perairan Sabah adalah kumpulan-kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina.

Mungkin kerana beranggapan kumpulan editor kanan tidak lasak atau menjaga status layanan 'VIP", kami kemudian dibawa menginap di Hotel Seafest. Manakala anggota media lain ditempatkan di Hotel Dragon Inn iaitu sebuah hotel terapung diperbuat daripada kayu (yang sebenarnya lebih terdedah dengan pengalaman menarik dan mencabar).

Malamnya kami dibawa kembali ke Kem Wangsa untuk majlis BBQ bersama anggota tentera.
Selain persembahan nyanyian di pentas, tetamu disajikan aksi serangan mengejut ketika persembahan sedang berlangsung.

Lampu tiba-tiba terpadam, dan berlaku letupan dan bunyi tembakan. Persembahan di pentas terhenti, semuanya lintang pukang.


Thursday, September 4, 2008

BAKAL HAJI SUDAH MULA BERSIAP



Mengapa Kaabah ada di tengah padang dan siapa mereka? Mereka adalah antara rakyat Malaysia dari sekitar Kajang, Bangi dan Puchong yang bakal terpilih sebagai jemaah haji tahun ini. Bakal jemaah Haji itu ditadbir di bawah Pejabat Haji Daerah Hulu Langat yang berpejabat di Bandar Baru Bangi.

Ini adalah sebahagian daripada latihan amali khursus intensif selama dua hari di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi bulan lalu. Kursus Perdana Haji dijangka diadakan selepas Hari Raya Puasa ini iaitu pada 18 dan 19 Oktober depan. Bakal Haji di Selangor akan mengikuti kursus Perdana di Masjid Negeri, Shah Alam.
Tahun ini Malaysia dijangka menghantar kira-kira 27 ribu jemaah berbanding Indonesia seramai kira-kira 230 ribu orang. Kira-kira 150 ribu orang telah mendaftar untuk menunaikan haji pada ketika ini. Manakala seramai 15 ribu orang telah membuat rayuan untuk menyertai ibadah itu, berbanding 45 ribu orang sebelum ini.
Penerbangan pertama ke Jeddah dijangka pada 30 Oktober ini, manakala penerbangan terakhir pada 2 Disember.
Tabung Haji menetapkan sebanyak RM9,445 untuk kumpulan Muasasah berbanding RM8,973 sebelum ini. Manakala bagi rombongan kendalian agensi atau pakej ia bernilai dalam lingkungan RM14 ribu hingga RM17 ribu. Bagaimanapun terdapat juga pakej istimewa yang bernilai puluhan ribu ringgit. Namun keselesaan dan kepuasan kemudahan ibadah hanya bergantung kepada keizinan Allah.
Berikut anggaran jumlah hari bagi jemaah biasa;
1. Jeddah - 3 hari
2. Madinah - 8 hari
3. Makkah - 18 hingga 26 hari
4. Arafah - satu hari setengah
5. Mudzalifah & Mina - 3 hingga 4 hari

Monday, September 1, 2008

KECACATAN BUKAN PENGHALANG KEJAYAAN JUARA AKADEMI NASYID


Azhar Atan berjaya mengatasi kekurangan diri, sering mendapat pujian juri dalam program Akademi Nasyid.

Kecacatan penglihatan tidak menghalang jejaka dari negeri selatan tanah air ini membuktikan bakat yang dianugerahkan Tuhan digunakan sebaik mungkin.

Masyarakat semakin bijak menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Pujian yang sering diberikan juri setiap minggu tidak sedikit pun membuatkan Azhan Atan meninggi diri malah segala pujian itu dijadikan pegangan untuk dia sentiasa berhati-hati dalam matlamatnya menamatkan program Akademi Nasyid dengan sempurna.