Sunday, July 27, 2008

PENGERUSI TETAP CAWANGAN SESAK NAFAS

Sejak 17 Julai lalu, Persidangan Agung UMNO Cawangan kini saban minggu berlangsung sehingga 24 Ogos ini. Walaupun tidak sehebat Persidangan UMNO Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO ia tidak boleh dipandang remeh.

Selain berupaya menentukan corak kepimpinan, suara akar umbi yang kedengaran di cawangan tidak boleh dinafikan untuk dibahaskan di peringkat bahagian dan seterusnya dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung.

Antaranya mereka mahu perubahan dalam kepimpinan UMNO, walaupun akur dengan pelan peralihan kuasa yang diumumkan Presiden parti.

Turut kedengaran, mereka mahu kuota pemilihan semua peringkat kepimpinan dimansuhkan. Manakala peringkat cawangan diberikan lebih kuasa untuk memilih pucuk pimpinan.

Usul itu pernah dibawa ke peringkat majlis tertinggi tetapi tidak mendapat pertimbangan. Kini setelah situasi politik UMNO dalam keadaan kurang selesa, beberapa isu lama dibangkitkan semula di peringkat cawangan.

Suara-suara di cawangan juga mahu pemimpin di peringkat bahagian dan seterusnya di peringkat atas menjenguk turun ke bawah. Mereka bukannya dahagakan duit poket atau duit kopi, tetapi sekadar mahu bersalam dan beramah mesra dengan pemimpin sekerap mungkin. Namun, jangan tunjuk kemewahan kepada mereka.

Apapun yang paling sibuk dan menjadi lebih penting daripada Ketua Cawangan sekarang ialah Pengerusi Tetap Cawangan, lebih-lebih lagi pada musim pemilihan ini.

Walaupun hanya bertugas setahun sekali, peranan mereka penting bagi memastikan kelancaran mesyuarat. Tetapi rata-rata Pengerusi Tetap terpaksa dipandu oleh Wakil Bahagian (AJK Bahagian) dalam pengendalian tugas mereka, terutama mereka yang berumur melebihi 60 tahun.

Yang menyebabkan Pengerusi Tetap Cawangan sesak nafas bila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan serentak persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan.

Friday, July 25, 2008

UMNO DAN PAS MAMPU DUDUK SEMEJA

(Diubahsuai daripada laporan khas oleh Syafinaz Yunus - disiarkan dalam Berita TV9, 24 Julai 2008)

Usaha bagi mewujudkan perpaduan di antara UMNO dan PAS mula dijalin dengan adanya pertemuan di antara pemimpin kedua-dua parti itu. Namun kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak muzakarah, menimbulkan tanggapan baru.

Dakwaan sesetengah pihak muzakarah hanya untuk kepentingan UMNO, merobek usaha murni itu. Persoalannya sampai bila dua parti Melayu-Islam itu akan terus bertentang arah?

Penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar berpendapat muzakarah ini untuk kebaikan orang Melayu, umat Islam serta negara. Menurutnya Datuk Nik Aziz pada dasarnya tidak pernah menolak untuk bermuzarahan. Perbezaan pandangan di kalangan beberapa pemimpin PAS mungkin mempengaruhi pendirian beliau untuk membuat keputusan.

"Sebagai ulama, sudah pasti beliau menyokong. Beliau tidak dimaklumkan secara peribadi. Orang PAS yang tidak senang hati mungkin menasihatkannya." ujar Sayuti.

Pengalaman pahit yang dilaluan beberapa pemimpin PAS dan UMNO menyebabkan usaha bermuzakarah menjadi tidak mudah. "Saya sendiri berpendapat muzakarah ini tidak ada faedahnya, bahkan semata-mata ini bala pada PAS," kata Wan Ahmad Wan Ismail, bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan.

Manakala bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad berkata usaha untuk mengadakan muzakarah hanya mencari publisiti murah. "Pas tak ke mana dah nak pergi. Dia tahu dah tak boleh pergi jauh, dia boleh duduk, nak duduk bawah UMNO. Kalau dulu UMNO dengan MCA dianggap kafir, sekarang PAS duduk di bawah DAP apa? PAS dah buang tabiat dah. Tak payahlah nak muzakarah. Orang PAS yang nak masuk UMNO.. mari, orang UMNO yang nak masuk PAS..pergi," katanya.

Menurut Sayuti ada pihak tertentu dalam PAS risau, "silap tanggapan iaitu perselisihan faham dalam PAS itu sendiri. Golongan yang yakin dengan Pakatan Rakyat dan golongan yang tidak yakin dengan Pakatan Rakyat."

Namun masih ada kalangan anggota kedua-dua parti yang berfikiran terbuka mengenai pertemuan pemimpin mereka

"Pada pandangan saya tidak salah kepimpinan itu berjumpa memberikan pandangan-pandangan kepada UMNO sebab kita tidak boleh tolak hakikat bahawa UMNO ini masih memegang kuasa di Malaysia, walaupun mereka kekurangan undi majoriti. Jadi diharap pertemuan ini kita boleh mengemukakan pandangan, teguran-teguran dan juga harapan supaya UMNO memainkan peranan dia bagi menjaga kepentingan agama Islam, " kata EXCO Kelantan, Nik Amar Abdullah.

Seorang veteran UMNO Kelantan, Datuk Ismail Mamat turut menyokong usaha mengadakan muzakarah itu. "Saya merasakan pandangan ini lebih kepada politik tetapi kalau kepada politik bangsa Melayu keseluruhan atau kalau untuk bangsa Melayu, ia haruslah diteruskan," katanya.

Di sebalik polimik itu, Datuk Nik Aziz menjelaskan, isu muzakarah tidak timbul lagi, kerana apa yang sebenarnya berlaku sekadar pertemuan biasa atau muqaballah.

Namun bagi Sayuti pertemuan perlu disegerakan, "Saya sokong kedua-duanya. Ia perlu agar ada pertemuan wakil UMNO dan PAS untuk dua parti ini dududk di bawah satu rumpun," ujar beliau.

Walau apapun, langkah pertama harus dilakukan bagi membuka lembaran baru perpaduan Melayu-Islam. Dan soal politik harus diketepikan. "Muzakarah ini harus diteruskan bukan untuk bergabung parti tetapi untuk membincangkan kepentingan orang melayu yang semakin terhimpit," kata Profesor Nidzam Sulaiman dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UKM.

Tiada lagi pihak yang boleh diletakkan harapan untuk perpaduan Melayu dan agama Islam, kecuali UMNO - sebuah parti bertunjangkan Melayu dan PAS yang penubuhannya bertujuan memperjuangkan islam. Maka yang penting kini, satu titik permulaan bagi mencari penyelesaian masalah perpaduan di kalangan bangsa Melayu, disegerakan.

Thursday, July 24, 2008

SUDAH SETAHUN EMAK DI HOSPITAL

Isnin ini 28 Julai, genap setahun emak terlantar di katil hospital. Dan ketika saya menulis entri ini, saya berada di sofa di bilik wad bersamanya. Giliran saya menunggunya selepas balik kerja tadi dan singgah di Rumah Melaka menunaikan jemputan Setiausaha Akhbar Ketua Menteri.

Malam ini saya bermalam dengan pakaian kerja yang saya pakai sejak pagi tadi.

Saya masih teringat tarikh itu ketika membawa emak dari kampung ke Kuala Lumpur. Seperti biasa hospital yang menjadi rumah keduanya, Pusat Rawatan Kampung Baru (KBMC). Doktor yang merawat Pengarah hospital itu sendiri, Dr Ishak Masud.

Hajat kami untuk membawa pulang belum tertunai, kerana beberapa sebab yang perlu diambil kira. Antaranya emak akan jauh daripada anak-anak kerana kebanyakan kami bekerja di Lembah Klang dan Tanjung Malim.

Dua pembantu rumahnya telah pulang ke Indonesia beberapa minggu sebelum bulan puasa tahun lalu. Sejak emak berada di hospital tiada kerja yang boleh mereka lakukan untuk membantu emak.

Beberapa minggu lalu seorang jururawat dari Indonesia mula merawatnya. Kehadiran Ratu sebagai persediaan kami untuk membawa emak pulang.

Ratu akan dibantu seorang lagi rakan jururawat dari negaranya. Dan jika seorang lagi jururawat itu telah selesai berurusan dengan imigresen, kami akan membawa emak ke rumah kakak di Tanjung Malim.

Kedua-dua jururawat terlatih itu akan merawat emak di sana dan adik-beradik juga akan bergilir-gilr menjenguk emak selepas ini, bagi membantu kakak yang juga sibuk dengan perniagaannya.

Semuga kami semua tabah dengan ujian ini dan emak merestui cara kami.

Wednesday, July 23, 2008

SIARAN BERITA TV PERLU ADA PENYAMPAI BAHASA ISYARAT

Penonton di Malaysia selepas ini kemungkinan akan menyaksikan siaran berita di semua TV memaparkan penyampaian secara bahasa isyarat.

Ketika ini hanya RTM melaksanakan keperluan itu. Bagaimanapun RTM hanya memperuntukan masa terhad dalam siaran Warta Perdananya, tidak meliputi berita ekonomi dan sukan.

Jika arahan daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tidak boleh disanggah, semua penonton harus akur dengan penampilan penyampai berita tambahan itu.

Bagaimanapun pengalaman RTM dalam melaksanakan kaedah itu perlu diambil kira.
Kekurangan penyampai bahasa isyarat yang mahir di negara ini masih menjadi bebanan, di samping beberapa masalah lain.

Menurut Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), setakat ini hanya terdapat 10 orang yang mahir menyampaikan bahasa isyarat di seluruh negara. Namun keperluan itu mungkin dapat diatasi jika seramai 2,000 penuntut yang kini masih belajar di institusi tertentu dapat dikeluarkan menjelang Mac 2009. Bagaimanapun tahap kemahiran mereka masih pada peringkat asas.

Beberapa permintaan yang dikemukakan oleh MFD kepada stesen TV membuatkan sesetengahnya ‘pening kepala’. Antaranya MFD mencadangkan penampilan penyampai bahasa isyarat harus memenuhi 25 peratus daripada keseluruhan kaca TV.

Alasan mereka, saiz kecil di sudut bawah sebagaimana yang dipaparkan di RTM kini, tidak jelas dan menyebabkan kerosakan mata. Menurut mereka di Finland, penyampai bahasa isyarat di TV negara itu memenuhi separuh daripada keseluruhan skrin.

Dengan lulusnya akta berkaitan di parlimen, nampak gayanya semua stesen TV perlu melaksanakan keperluan itu bagi memenuhi permintaan 30 ribu orang pekak yang berdaftar di seluruh negara.

Tuesday, July 22, 2008

RAMAI RAKYAT MALAYSIA JADI JUTAWAN DI DUBAI

Hari ini saya dikunjungi seorang rakan yang sudah lebih 10 tahun bermastautin di Dubai, UAE. Setiap tahun, beliau akan bercuti balik ke Malaysia selama sebulan.

Menurutnya pendapatan di UAE lumayan. Seorang penyambut tetamu (receptionist) mendapat gaji RM8,000 sebulan. Purata pendapatan pekerja yang bertaraf pengurus sebanyak RM30 ribu sebulan.

Kini jutawan di kalangan rakyat Malaysia di negara itu telah mencecah belasan orang. Rata-rata mereka membuat pelaburan mudah dalam hartanah iaitu beli dan jual rumah.

Rakan saya inipun sudah bergelar jutawan walaupun menurutnya belum mencapai tahap multi-millionaire.

Bila pencen nanti balik Malaysia boleh duduk di Starbuck minum kopi dan membelanjakan wang simpanan yang terkumpul. Simpanan akan berlipat ganda lagi bila selepas pencen nanti duit itu dibuat pelaburan lain, atau membeli pulau di Terengganu.

Saturday, July 19, 2008

SEMUA KABIN DI PUCHONG DIAMBIL ALIH MPSJ

Majlis Perbandaran subang Jaya (MPSJ) sudah ada kaedah untuk menyelesaikan isu lebih 50 buah kabin di Puchong yang sebahagiannya tidak ada permit.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Ikhsan berkata sebahagian kabin itu akan dirobohkan. Manakala kabin yang boleh digunakan akan diambilalih oleh MPSJ.

“Ada satu keputusan daripada kerajaan negeri yang mengarahkan kita ambil alih kabin-kabin berkenaan daripada pemilik asal. Dengan lain perkataan kita akan guna sekiranya masih elok kita akan milikan di bawah pentadbiran MPSJ”, kata beliau.

Menurut Datuk Adnan pihaknya telah mengeluarkan notis berpindah bertarikh 23 Jun lalu sebagai langkah menangani masalah itu.

Tindakan MPSJ itu dipercayai gesaan daripada Ahli Parlimen Puchong, Gobin Singh Deo yang mendakwa kebanyakan kabin dibiarkan tanpa sebarang pengawasan.

DEBAT 'LIVE' KEMUNGKINAN AKAN DITERUSKAN

Debat seumpama Shabery Cheek-Anwar Ibrahim kemungkinan akan diteruskan.

TV9 bersedia untuk terus menyiarkannya secara langsung manakala Agenda Daily sebagai penganjur.

Pasangan yang dikenal pasti untuk program seterusnya ialah Salahuddin Ayub dan Khairy Jamaluddin.

Apapun perinciannya masih terlalu awal untuk dipastikan.