Wednesday, April 6, 2011

BB

This is from BB.

Entri di atas ini adalah dari Blackberry. Tetapi saya masih tidak faham bagaimana untuk membuat entri. Kadang-kadang boleh, kadang-kadang tak boleh. Begitu juga menggunakan smartphone HTC HD Desire. Tajuk entri boleh ditulis namun teks kandungan tidak boleh. Ada cara lain ke?

Monday, April 4, 2011

MESYUARAT CAWANGAN


Foto : Imam Haji Nik membakar semangat ahli ketika mengambil bahagian dalam sesi penangguhan.
Mesyuarat Agung Cawangan Pusat Bandar Puchong kali ini diadakan pada sebelah malam. Malam minggu lepas di kawasan tanah lapang berhampiran surau Al-Husna.

Sebahagian jemaah masjid Al-Husna bersolat Maghrib dan Isya' di surau berkenaan bagi memudahkan mereka membakar ikan dan hadir pada mesyuarat itu.

Namun saya tidak dapat turut serta dan hanya menyertai mereka pada mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam.

Perjalanan mesyuarat seperti biasa 'short and sharp'. Setiausaha dan bendahari empat peringkat hanya membacakan teks 'sila rujuk laporan tahunan bla...bla.....".

Pada akhir mesyuarat hanya peringkat cawangan membentangkan usul, mahu kerajaan persekutuan mengambilalih sekolah agama yang ditadbir kerajaan negeri.

Ketua cawangan dalam ucapan penangguhan mahu ahli merapatan barisan, membuang sifat dengki dan sikap mahu khianat pada bangsa. Sebelum itu Ketua Penerangan cawangan mahu semua ahli merenung diri dan berfikir - Melayu kini semakin melayu!

Daripada lebih 400 pengundi Melayu di Pusat Bandar Puchong, kira-kira 460 menjadi ahli parti. Lebih dua ribu pengundi adalah daripada kaum Cina manakala India hampir 400 orang.

Saturday, April 2, 2011

LANGKAH ATASI KESESAKAN DI LDP

Syarikat konsesi kepada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) memperuntukkan RM312 juta bagi melaksanakan projek LDP 5 membabitkan empat pakej bagi tempoh empat tahun bermula 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak, Sazally Saidi, berkata keempat-empat pakej yang dijangka siap menjelang penghujung 2012 depan itu bakal mengatasi masalah kesesakan trafik yang berlaku di empat plaza iaitu Tol Plaza (TP) 1 (Penchala), TP2 (Petaling Jaya Selatan), TP3 (Puchong Barat) dan TP4 (Puchong Selatan). Menurutnya, pelaksanaan keempat-empat pakej berkenaan adalah antara inisiatif Litrak untuk menyelesaikan masalah trafik bagi keselesaan pengguna sama ada pengguna bertol mahu pun pengguna bebas tol.


“Ketika ini, terdapat seramai 470,000 pengguna bertol manakala 1.4 juta lagi adalah pengguna bebas tol yang menggunakan LDP setiap hari dan penambahbaikan ini diyakini mampu memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya ini.

“Dalam projek LDP5, ia membabitkan kerja-kerja menaik taraf persimpangan bertingkat Puchong Intan, pelebaran lebuh raya dan menaikkan taraf lorong plaza tol dengan menyediakan lebih banyak lorong Smart TAG dan Touch n Go serta memperbaiki keberkesanan lorong antara pertukaran (interchange),” katanya

Hari-hari aku terpaksa menghadapi kesesakan macam ini. Selepas membayar tol, terpaksa berbaris menyertai kesesakan di hadapan. Perjalanan yang hanya memakan masa 15 minit, terpaksa mengambil masa sehingga lebih sejam. Tidak boleh dijangkakan, sehingga kadang-kadang terlepas mesyuarat pagi.

Balik malam jam 10, masalah sama masih berlaku.


Sunday, March 27, 2011

PERTAMA KALI


Sudah lima tahun Akademi Al-Quran (AQ) diadakan di TV9. Sudah banyak kali jemputan untuk menghadiri siaran langsung final AQ diterima. Tapi baru tahun ini berkesempatan menghadirkan diri.

Kesempatan itu bertitik tolak daripada jemputan yang dibuat dengan memberikan 20 tiket untuk menonton secara live dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kepada kariah masjid Pusat Bandar Puchong.

Ia bermula apabila seorang jemaah masjid meminta saya untuk menyediakan tiket berkenaan. Ini kerana pada tahun-tahun sebelumnya beliau dan isterinya turut diajak oleh jemaah masjid lain menghadiri final program itu.

Kini baru saya tahu rupanya ramai yang berminat dan berhajat untuk menghadiri program live dari PICC itu.Di samping tiket itu, saya juga mendapat kad jemputan untuk hadir pada program berkenaan. Namun ia hanya diterima dua hari sebelum hari final. Saya juga diberi peluang untuk menjemput beberapa pasangan tetamu lain.

Kebetulan malam itu saya membawa dua lagi pasangan rakan sejiran untuk sama-sama hadir menyaksikan program live final AQ. Bagi saya dan sapasang lagi rakan, ini adalah kali pertama kami menghadirkan diri. Sepasang lagi rakan sudah pernah hadir sebelum ini bersama-sama jemaah masjid lain.
Selepas program selesai, kami dijemput untuk menyertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Pengerusi Media Prima ke jamuan ringan di aras satu.

Saya turut sempat bergambar bersama penyanyi nasyid dari Indonesia, Haddad Alwi yang diundang khas bagi menyerikan program berkenaan.

Sesungguh kami amat teruja dengan mutu bacaan peserta finalis AQ. Muda tetapi mahir dalam bacaan mereka. Sebaik sahaja keluar dari dewan, rakan saya mengingatkan saya supaya tidak lupa menjemput mereka lagi tahun hadapan.

Dalam perjalanan pulang, kami sempat berposing walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1:00 pagi.

Peserta dari Sabah, Mohd. Syahriansyah Apin, 25, muncul juara pertandingan akhir program realiti terbitan TV9, Akademi al-Quran musim kelima (AQ5) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Kemenangan itu membolehkan Mohd. Syahriansyah membawa pulang wang tunai RM30,000 dan senaskhah al-Quran bertinta emas.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini turut membawa pulang pakej pelancongan ke Syria, perabot jati, pakej mengerjakan haji dan umrah, barangan songket, hamper dan sebuah trofi yang bernilai kira-kira RM150,000.

Mohd. Syahriansyah turut mendapat tajaan biasiswa bagi melanjutkan pengajiannya ke mana-mana cawangan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU).

Sementara itu, ketiga-tiga peserta lain, Mohamad Husaini Mahmur, 19, Suhailah Zulkifly, 22, dan Muhamad Nasir Muhamad Salleh, 21, membawa pulang sagu hati berupa wang tunai RM2,000, biasiswa menyambung pengajian di MEDIU, pakej mengerjakan haji dan umrah, barangan songket, hamper serta trofi.

Hadiah pemenang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Pengerusi Media Prima Bhd., Datuk Johan Jaafar.

AQ merupakan program realiti TV tempatan pertama yang memerlukan peserta memperdengarkan bacaan al-Quran mengikut kaedah tertentu.

Semua hadiah adalah tajaan daripada TV9, Yayasan Restu, MEDIU, Gemilang Travels & Tour, Al-Fajr Travel, Wan Manang, Jatimas, TH Global, Hiraq Marketing & Trading

Wednesday, March 23, 2011

TAHNIAH FARRIS HELMY

Hari ini saya mengambil cuti untuk menemani anak ketiga Muhammad Farris Helmy mengambil keputusan SPMnya di sekolah di Shah Alam. Sejak semalam sehingga hari ini, Farris nampak lebih cool sahaja, berbanding mamanya yang lebih gelisah menanti keputusan itu.

Selepas menghantar anak bongsu ke sekolah kebangsaan pada sebelah tengahari, saya dan isteri membawa Farris ke sekolahnya. Sebelum itu kami mengambil seorang rakannya yang mahu menumpang bersama. Rakannya itu bekerja sementara di IOI Mall dan tidak mendapat cuti serta tiada kenderaan untuk membawanya mengambil keputusan.

Keputusan SPM Farris dengan mendapat 8A, 1B dan 1C membuatkan mamanya menangis dan tersedu-sedu kegembiraan. Hari ini mamanya dihujani panggilan telefon daripada sanak saudara dan kenalan bertanyakan keputusan SPM Farrris.

Sehingga ke malam Farris masih cool tetapi mamanya masih excited. Namun perjalanan Farris selepas ini masih panjang sekali gus memerlukan usaha lebih gigih lagi. Tahniah Farris daripada Abah!

Tuesday, March 22, 2011

BLUE OCEAN STRATEGY - APA TU?

Blue Ocean Strategy adalah sebuah buku strategi perniagaan yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2005.

Buku ini ditulis bersama oleh W.Chan Kim dan Renée Mauborgne dari The Blue Ocean Strategy Institute di INSEAD.

Buku berkenaan mengenai pendapat penulis berhubung keuntungan dan pertumbuhan mampan sesebuah organisasi.

Ia dapat dijana melalui pengwujudan permintaan baru dalam pasaran yang tidak mempunyai ruang bersaing atau lebih dikenali sebagai "Blue Ocean".


BLUE OCEAN STRATEGY - KERAJAAN DAPAT JIMAT RM281 JUTA

Blue Ocean Strategy – Program Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Kem Mahkota, Kluang Sabtu ini (26 Mac).

Antara lain program ini untuk memaksimumkan guna tenaga modal insan, ruang tanah dan aset tentera darat bagi menampung keperluan agensi keselamatan kerajaan yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara .

Selain pihak tentera, beberapa kementerian dan jabatan kerajaan yang lain turut akan memberikan komitmen apabila pelaksanaan peringkat seterusnya membabitkan tanah dan kemudahan tentera direalisasikan. Antara agensi yang terlibat termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

Beberapa program di bawah Blue Ocean Strategy kini diatur dan telah dilaksanakan dengan dibahagikan kepada beberapa peringkat.

Antara program kerjasama dengan PDRM termasuk menyediakan tempat latihan bagi bakal anggota-anggota polis di kem-kem tentera, mengambilalih sementara kawasan tanggungjawab Pasukan Gerak Am (PGA), rondaan bersama di kawasan panas serta memberi ruang kepada pesara tentera (LLP) yang telah berkhidmat selama 21 tahun, untuk menyertai perkhidmatan polis.

Manakala kerjasama membabitkan Jabatan Penjara pula, ialah dari segi penyediaan kemudahan penempatan (penjara) dalam kem. Program bagi memberikan bimbingan oleh Jabatan Penjara kepada banduan terpilih itu, turut membabitkan bantuan oleh tentera darat dari segi keselamatan banduan serta keperluan logistik lain.

Namun pembinaan bangunan ‘penjara’ dalam kem tentera dilakukan dengan mengambil kira jaminan keselamatan penghuni kem dan aset strategi tentera. Dalam erti kata lain, bangunan ‘penjara’ dibina di atas kawasan tanah yang terpinggir milik kem berkenaan.

Apabila program awal ini terlaksana sepenuhnya di semua lima kem tentera, kerajaan dijangka dapat menjimatkan kira-kira 281 juta ringgit.