Friday, December 11, 2009

MAYANGSARI RESORT DI PD TIDAK DISELENGGARA

Cukuplah walaupun sehari. Sejak semalam kami sekeluarga menginap di Mayangsari Resort yang terletak di batu 2.5, Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum balik kampung menjaga emak.

Saya menjadi pemilik bersama (Joint Ownership) baru beberapa bulan walaupun tempat percutian itu sudah lama wujud. Kerana isi keluarga ramai , saya memilih Penthouse dengan tiga bilik tidur, satu bilik di bawah dan dua bilik di atas.

Kini ia sudah menjadi rumah kedua kami apabila anak-anak semua bercuti. Ruang tamunya luas dan boleh buat kenduri tahlil yang memuatkan kira-kira 50 orang.

Kerana resort ini dibina sudah agak lama, penyelenggaraannya terabai. Bilik-bilik sudah tidak ada kunci. Nak tidur terpaksa letak kerusi panjang di belakang pintu. Paip airnya pula banyak yang tercabut.
Bathtab yang terletak di tepi tingkap sekadar hiasan kerana tidak memberi kepuasan kepada penghuninya. Hanya air sejuk yang keluar. Bila air bathtab dilepaskan semua lantai tandas digenangi air.

Selepas ini bila bangunan di sebelah siap, kami sekeluarga harap dapat menginap di penthouse yang baru.

Foto : bangunana baru dalam pembinaan.

EMAK

Emak masih sakit dan terlantar di katil. Setiap hari emak ditemani dua jururawat terlatih dari Bandung. Nanang hanya dapat menemani emak setiap bulan setelah bergilir-gilir bersama adik-beradik lain yang balik kampung setiap minggu.

Disebabkan kekangan kerja Nanang berasa tidak puas untuk menemani emak untuk beberapa jam setiap bulan. Emak sanggup memandi dan membasuh najis Nanang ketika kecil. Kini bila emak terlantar Nanang tidak berpeluang untuk melakukan perkara yang sama.

Setiap kali pulang, Nanang dan isteri akan berada di sisinya mengambil tempat jururawat merawat emak. Namun Nanang masih lemah, tidak berupaya memandikan emak dan membersihkan najisnya.

Tidak seperti adik-beradik lain, Nanang hanya sebagai penumpang untuk membiayai perubatan emak walaupun bercita-cita besar untuk melakukan semua itu. Rezekinya setakat gaji bulanan dan belum diberi peluang untuk mendapat rezeki lebih.

Tapi bagi Nanang duit banyak bukan segala-galanya. Yang penting Nanang diberi banyak rezeki masa untuk mengunjungi emak dan bapak di kampung. Nanang tidak akan sekali-kali menswastakan kepada anak-anak dan orang lain untuk menjaga emak bila duit banyak.

Nanang mahu tugas menjaga emak dikongsi oleh isteri dan anak-anaknya. Itu sebab setiap kali giliran menjaga emak Nanang akan membawa seisi keluarga balik kampung.

Nanang tak mahu bila dia sibuk, anak-anakpun ikut sibuk dan tak mahu menjenguk nenek dan datuk di kampung.

Tuesday, December 8, 2009

KETUANAN MELAYU AKAN HILANG JIKA TIDAK DIPERTAHAN


Di sebalik pelbagai reaksi membantah tindakan pemimpin DAP mempersoalkan perihal ketuanan Melayu, parti itu bertegas akan terus membangkitkan dasar itu yang disifatkan tidak adil untuk bangsa-bangsa lain.

Perkara itu ditegaskan Naib Pengerusi DAP, N. Kulasegaran sambil disokong Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini.

Kulasegaran mendakwa, tindakan beliau membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah kerana bimbang tentang masa depan hubungan antara kaum di negara ini.
Katanya, beliau tidak faham mengapa setelah bertahun lamanya masih ada kelompok manusia percaya kepada warna kulit atau penampilan yang lebih tinggi daripada satu kaum yang lain.

''Pandangan saya polisi ketuanan Melayu bertentangan dengan 1Malaysia dan tidak mencerminkan kesejahteraan rakyat negara ini dan sebab itu soalan saya sama ada parti politik MCA, Gerakan turut bersetuju dengan polisi itu," katanya.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga menegaskan beliau tidak akan melepaskan kerakyatan Malaysia dan pulang ke India seperti yang dituntut Gagasan Melayu Perak (GMP) dalam demonstrasi mereka Sabtu lalu.

''Awak (media) pergi beritahu mereka (GMP) saya tidak akan serahkan kerakyatan, saya rakyat Malaysia sepenuhnya dan satu lagi, saya tak takut sesiapa pun," tegasnya.

Gagasan Melayu Perak (GMP) Sabtu lalu menyerahkan memorandum kepada Kulasegaran dengan menggesa beliau mempertahankan hak-hak orang Melayu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

Menurut GMP, mereka kecewa dengan tindakan DAP yang tidak henti-henti mempersoalkan hak ketuanan Melayu termasuk terbaru oleh Kulasegaran sehingga menimbulkan perasaan tidak tenang di kalangan orang Melayu.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham ketika mengulas isu yang sama berkata, desakan GMP supaya Kulasegaran meninggalkan negara ini dan pulang ke India adalah pandangan kumpulan Melayu ekstrem dan berbaur hasutan.

Sehubungan itu, katanya, gesaan ekstrem pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu harus dikecam oleh semua parti politik termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya dapat diwujudkan budaya politik yang lebih sihat.

''Isu ketuanan Melayu tidak patut diteruskan kerana bila kita cakap tentang ketuanan sesuatu bangsa sahaja, ini menunjukkan bangsa lain tidak penting.

''Sedangkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas) kata kita semua datang daripada satu, Adam dan Hawa.

''Dan pada saya sebelum kita Kristian, Hindu atau Muslim kita adalah manusia dahulu. Agama dan bangsa datang selepas itu dan untuk mewujudkan kedamaian kita kena layan manusia lain seperti mana kita nak orang layan kita," ujarnya.
-Utusan

KEMBARA MEMANTAPKAN STRINGERS

Foto : Nadi berita dari Selatan merangkumi NTV7, 8TV dan TV9.
Kembara menemui nadi sumber berita di seluruh negara sudah bermula sejak bulan lalu. Bermula dengan Pulau Pinang yang merangkumi stringer dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Minggu lalu kami meneruskan kembara menemui mereka di selatan meliputi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Daripada dua lokasi itu Perak dan Negeri Sembilan mungkin tidak berminat untuk meneruskan khidmat. Tak per, ramai lagi yang berminat dan menunggu!

Selepas ini kembara diteruskan ke Kuala Terengganu untuk menemui mereka dari Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Ada sesuatu yang baru untuk mereka.

Monday, December 7, 2009

DAH JODOH DIA....

Hari raya kedua Aidil Adha dulu saya tak dapat menghadiri majlis nikah anak buah di Johor kerana ada majlis korban besar-besaran di masjid baru dekat rumah.

Kalau majlis di KL atau PJ sanggup jugak lari sekejap daripada majlis korban tu. Bagaimanapun saya sempat ucap tahniah melalui sms.

Saya diberitahu jodohnya berputik ketika mengerjakan umrah bulan puasa lalu.

Apa nak dikata dah jodoh Arab dengan gadis Arab yang juga masih ada hubungan saudara dengan dia. Yang tak ada jodoh tu banyakkan doa dan kena kuat semangat dan kerja kuat.

Foto ini saya dapat daripada stringer Johor, Zulhazri. Mereka yang tenguk gambar tu pulak berkenan dengan pempuan sebelah pengantin. Tapi depa tak tau itu isteri Hazri. Lawa dan pandai bawa diri serta bijak layan tetamu dari KL ketika kami berkunjung untuk tugasan di Johor Bahru minggu lalu.

Sunday, December 6, 2009

LIMA 2009 CATAT URUSNIAGA RM9.5 BILION.


Foto : Menteri Pertahanan bersama Ketua Pengarang TV9 pada hari terakhir LIMA.

Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang bermula Selasa lalu melabuhkan tirainya semalam dengan mencatatkan urus niaga industri pertahanan dan keselamatan yang dianggarkan bernilai RM9.5 bilion. Jumlah dagangan itu melibatkan nilai rasmi sebanyak RM4.7 bilion, manakala bakinya melibatkan persetujuan pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak tidak rasmi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah rasmi berkenaan, syarikat swasta mencatatkan pemeteraian kontrak dan MoU terbesar iaitu sebanyak RM2.4 bilion.

Katanya, Kementerian Pertahanan pula mencatatkan nilai keseluruhan RM1.27 bilion diikuti urus niaga syarikat swasta di tapak pameran masing-masing (RM1 bilion) dan agensi-agensi kerajaan lain sejumlah RM17.56 juta. "Jumlah ini rendah sedikit daripada yang dicatatkan pada penganjuran dua tahun lalu tetapi kita faham ia disebabkan kemelesetan ekonomi yang teruk ketika ini.

"Saya yakin untuk tempoh dua tahun akan datang, beberapa majlis menandatangani kontrak dan pembekalan aset tentera akan terus dijalankan yang kita akan umumkan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar LIMA 2009 yang berakhir hari ini di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini. Edisi LIMA kali ini melibatkan 325 peserta dari 25 buah negara antaranya Australia, Belarus, Denmark Singapura, New Zealand, Indonesia, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Rombongan tetamu Menteri Pertahanan dari Bagan Datoh melawat KD Perak.

Ia dibahagikan kepada dua sektor iaitu maritim yang diadakan di Awana Porto Malai dan segmen udara di MIEC. Ahmad Zahid berkata, LIMA 2009 berlangsung dengan jaya termasuk menyaksikan penyertaan syarikat tempatan yang menempah seluas 37 peratus lantai pameran sekali gus membuktikan mereka mula bergerak untuk menjadi pemain-pemain utama dalam industri pertahanan.

Katanya, ia juga menyaksikan kehadiran panglima laut seramai 31 orang dari seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam Persidangan Maritim Antarabangsa. Menurut beliau, LIMA 2009 yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan turut menyemarakkan lagi industri pelancongan negara apabila ia menganjurkan karnival di pekarangan letak kereta Awana Porto Malai dan Kompleks Pekan Rabu di Kuah.

"Para peserta karnival itu mempamerkan pelbagai jenis produk, kraf tangan dan makanan yang terdapat di negeri masing-masing bagi membolehkan pengunjung mengenali produk mereka," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, kehadiran pelawat yang mengunjungi pameran sepanjang lima hari itu dianggarkan mencecah 78,000 orang.

PINDAD - Antara yang dipamerkan. Adakah kenderaan ini akan mengantikan APC yang sedang berkhidmat di Lubnan?

Katanya, ia melibatkan pelawat perdagangan sejumlah 38,000 orang dan bakinya merupakan pengunjung awam. Menurut beliau, LIMA yang dianjurkan sejak 1991 hasil ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan diteruskan pada 2011.

- Utusan Online.

SUDAHLAH TU......ORANG MELAYU SEBELAH SANA.


Foto sumbangan Mior Lahmudin.
Rupanya ada lagi isu yang ditimbulkan mengenai masjid Al-Husna Pusat Bandar Puchong, yang baru digunakan kira-kira tiga bulan lalu.

Sebelum ini masjid di atas bukit itu menghadapi masalah untuk digunakan kerana belum mempunyai CF. Namun setelah seorang rakan yang menjadi Pengarah salah satu jabatan di Majlis Perbandaran Subang Jaya membantu, masjid dapat digunakan menjelang bulan puasa lalu.

Isu baru yang ditimbulkan, mengapa masjid itu boleh wujud di taman berkenaan walaupun minoriti penduduknya orang Melayu. Siapakah mereka itu? Lu pikirlah sendiri.

Tetapi hakikatnya, jemaah yang hadir pada solat aidil adha lalu sudah melimpahi ruang solat.