Friday, June 13, 2008

REBET MINYAK SETAHUN HABIS DALAM TEMPOH SEHARI


Bagi pemilik kenderaan persendirian, berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta ‘trak pick-up’ dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun, bagi setiap kenderaan. Manakala bagi pemilik motosikal persendirian, berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai RM150 setahun.

Cuba fikir, wang bayaran rebet setahun dengan jumlah itu dan mengambil masa panjang berbaris di pejabat pos mulai esok, akan hanya dibelanjakan dalam masa sehari.

Selepas duit habis, tanggunglah sendiri dengan mengisi minyak satu liter RM2.70 sepanjang tahun.

Jadi....janganlah ghairah sangat nak duit itu tanpa memikirkan subsidi minyak selama setahun yang sudah dibelanjakan itu. Jimatlah berbelanja!

Wednesday, June 11, 2008

JANGAN LETAK KERETA DI KL


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang awal bertindak berikutan pengumuman kenaikkan harga minyak baru-baru ini.

Langkah terbaru yang diumumkan Datuk Bandar, Datuk Ab Hakim Borhan hari ini akan terus menghimpit kehidupan rakyat khususnya warga kota dan mereka yang berkereta ke Kuala Lumpur.

Berkuatkuasa Isnin ini kenaikan caj tempat letak kereta dikenakan sehingga hampir 35 peratus berikutan langkah DBKL melaksanakan Sistem Letak Kereta Eletronik (SLKE).

Melalui sistem itu pemilik kenderaan dikehendaki membayar caj 80 sen sejam bagi setiap petak letak kereta di pusat bandar berbanding hanya 60 sen sekarang.

Bagaimanapun kadar letak kereta di luar pusat bandar (pinggir bandar) dikurangkan 10 sen kepada 50 sen sejam.

Caj sekarang adalah satu kadar sahaja iaitu 60 sen sejam bagi pusat bandar dan luar pusat bandar.

DBKL juga mengumumkan lanjutan tempoh masa bayaran letak kereta bermula 7.30 pagi hingga ke 10 malam sepanjang tujuh hari seminggu, berbanding sekarang 8 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, kecuali Ahad dan cuti umum.

Dan tiada pengecualian diberikan apabila pemilik kenderaan juga dikehendaki membayar caj letak kereta pada setiap cuti umum.

Langkah baru itu akan mula dilaksanakan di kawasan yang dilengkapi dengan SLKE bagi fasa pertama iaitu di kawasan Bukit Bintang, Masjid India, Jalan Sultan Ismail, Kampung Baru, Chow Kit, Pudu, Kompleks Damai dan Jalan Loke Yew.

Langkah selepas ini;
1. Jangan masuk Kuala Lumpur menggunakan kereta, walaupun pada hujung minggu.
2. Kalau teringin jugak memandu dan meletak kereta di ibu kota, lakukan selepas jam 10 malam setiap hari dan balik sebelum jam 7:30 pagi.
3. Gunakan LRT atau apa saje kenderaan awam yang murah.
4. Bermotosikal atau berbasikal - jadikan Kuala Lumpur seperti Amsterdam,
5. Berkongsi kereta ke Kuala Lumpur.
6. Tukar kerja keluar dari Kuala Lumpur atau minta bos tukar pejabat di luar Bandaraya.
7. Jangan pergi ke Kuala Lumpur jika tidak terlalu perlu.
8. Beralih urusan kehidupan dari Kuala Lumpur seperti berbelanja di pasar borong Selangor dan elak berbelanja di pasar Chow Kit, memperbaharui Maykad di Putrajaya, melakukan urusan EPF atau Tabung Haji di Petaling Jaya.

Banyak lagi......

KOMANDER RAMLI TAK SUKA GIGI EMAS M.DAUD KILAU

(Jangan marah! aku kauk foto ni..)

Setelah tiba-tiba terbaca komen daripada Komander Ramli Kardi dalam entri sebelum ini, kali ini izinkan saya menulis sedikit mengenai Komander Ramli. Rakan dan orang kampung yang menjadi kebanggaan Bagan Datoh.



(Saya bersama Sultan Selangor - Komander Ramli beruniform Navy)

Beliau kini menjadi ADC Sultan Selangor sejak beberapa tahun lalu. Kalau ada foto Tuanku Sultan di dada-dada akhbar atau muncul di kaca TV, maka adalah muka beliau beruniform putih segak di samping baginda.

Beliau adalah pengawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang boleh dibanggakan. Sebagai pegawai dalam pasukan PASKAL (komando Navy), beliau memang menyukai sesuatu aktiviti yang mencabar.

Misi Khutub Utara bersama-sama Datuk Rahim Dahlan (Rahim King) yang disertai krew TV3 dulu adalah sesuatu catatan sejarah yang tidak boleh dilupakan.

Walaupun sudah berada di atas, sikap kekampungan beliau masih boleh dibanggakan. Masih tidak membangga diri dan prihatin terhadap kehidupan masyarakat.

Dalam keterangan peribadinya dalam geogle beliau hanya menyatakan dirinya sebagai 'wong jowo bagan datuk' . Manakala pekerjaannya dinyatakan sebagai kerja kampung, tanam sawit lepas pencen askar ayor (Navy lah tu..)

Beliau amat menyemari sky diving, scuba diving, golf dan yang best Volkswagen Beetle (macam aku jugak mula-mula dulu).

Selain filem Rambo sebagai kegemaranya, dan Kenny G menjadi musik favouritenya, yang saya tak tahan beliau tak suka M. Daud Kilau (orang Bagan Datoh jugak ni) kerana gigi emasnya.

Harap-harap Datuk M. Daud Kilau tak baca entri ini.

Mengapa tak suka gigi emas? Komander Ramli kena jawab sendiri!

Tuesday, June 10, 2008

MENCARI IDENTITI

Indah - rupanya tidak cantik
Mahal - rupanya tidak menarik,

Cita rasa sama tetapi tidak serupa
Bergolak menipu situasi,

Di depan berkata "iya"
Di belakang seribu sumpah seranah,

Menjelma menjadi bebola hipokrasi
Hilang di udara, kemudian muncul silih berganti,

Dua personaliti berbeza, menguasai diri
Hilang dalam siang, menjelma pada malam,

Tanpa tabir awan, tanpa lindungan bulan
Merkah dan berkecai lagi.

Sunday, June 8, 2008

GUNA KERETA KECIL UNTUK PERGI KERJA

Ketika harga petrol naik sekarang ini, masing-masing tercari-cari kereta kecil sebagai alternatif. Dengan harga petrol RM2.70 seliter, kereta yang saya gunakan kini memerlukan sehingga lebih RM150 untuk memenuhkan tangki.

Lebih 10 tahun dulu saya pernah menggunakan kereta MPV Citreon Evasion untuk pergi kerja. Kereta itu memang sesuai untuk mereka yang mempunyai anak ramai. Tetapi amat tidak ekonomik untuk dibawa pergi kerja.

Saya membelanjakan kira-kira RM400-RM500 sebulan hanya untuk mengisi petrol pergi kerja yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari rumah. Memandangkan kosnya terlalu mahal, saya membeli Kancil untuk pergi kerja. Evasion pula saya tinggalkan di rumah untuk isteri menghantar dan mengambil anak dari sekolah.

Bayangkan dengan perbelanjaan bulanan 'duit minyak' Evasion sebelum ini, saya dapat menggunakannya untuk membayar ansuran bulanan kereta kancil termasuk kos petrolnya.

Selepas lama menggunakan Kancil, saya bertukar kepada Kelisa untuk pergi kerja. Manakala Evasion masih digunakan selama lapan tahun untuk keperluan keluarga.

Kini setelah beberapa tahun menggunakan mini MPV berteknologi Korea untuk pergi kerja dan MPV 'recond' buatan Jepun untuk keperluan keluarga, saya memikirkan untuk menggunakan kaedah itu lagi setelah harga minyak melambung.

Rasanya Proton Saga dan Viva boleh dipertimbangkan untuk membantu mengurangkan pembasiran kos perjalanan ke tempat kerja setiap hari.

PERPADUAN MELAYU TERENDAH

Foto fail : Ketika penamaan calon


Semalam ketika merasmikan majlis konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata perpaduan orang Melayu kini berada pada tahap rendah.

Menurutnya ini kerana mereka kini tergolong dalam pelbagai organisasi yang mempunyai pandangan dan hala tuju berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kebanyakan mereka kini lebih suka membawa haluan sendiri dan tidak memiliki hala tuju yang spesifik berbanding masyarakat Melayu terdahulu.

“Keadaan itu menyebabkan banyak organisasi di luar lingkungan kita mula melontar beberapa pandangan yang dulunya relevan tetapi kini tidak lagi relevan, umpamanya dalam soal ketuanan Melayu,” katanya.

Menurut beliau sejak kebelakangan ini terdapat banyak pihak yang mula mempertikaikan hak orang Melayu dan bumiputera walaupun perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Seandainya ada pihak mempertikaikan hak kita di negara ini, kita juga boleh mempersoalkan hak mereka. Tetapi ini tidak bermaksud kita menolak hak masyarakat lain yang ada di negara ini sebaliknya kita hanya mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” tegasnya.

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati hak yang telah diberikan kepada mereka dan jangan sesekali mempertikaikan hak orang lain kerana ia mungkin akan menimbulkan isu perkauman.

“Kita tidak minta lebih, hanya mahu mengekalkan apa yang kita ada sahaja dan kita juga tidak mahu mengganggu hak orang lain,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga menyeru semua pihak agar bersatu supaya dapat bersama-sama memartabatkan imej serta kebudayaan orang Melayu di negara ini.

“Sudah sampai waktunya kita bangkit dan bersatu demi memartabatkan ketuanan Melayu di tanah air kita serta mendapatkan kembali apa yang telah hilang,” tegasnya.

Tuesday, June 3, 2008

PENGURUSAN PELANCONGAN BELUM BERTARAF GLOBAL

Kompleks Sejarah Pasir Salak :
Cuti panjang persekolahan seperti yang lazimnya, saya akan membawa anak-anak melancong di dalam negara. Oleh kerana cuti yang saya ambil tidak lama, saya hanya membawa mereka menziarahi bapak di kampung.

Dan untuk menghilangkan rasa bosan bapak, saya membawanya bersama anak-anak ke beberapa destnasi yang tidak jauh dari kampung.

Kali ini ke Pasir Salak, tempat J.W.W Birch dibunuh. Walaupun tidak sampai 30 minit dari kampung, saya sendiri tidak pernah menjenguk ke tempat itu. Kali ini saya terpanggil untuk singgah ke “Kompleks Sejarah Pasir Salak” itu kerana anak-anak juga begitu kepingin untuk melihatnya. Lagipun ia berada dalam perjalanan kami ke destinasi utama Damai Laut.

Dan apa yang sering kami alami ketika melancong di dalam negara sebelum ini, rupanya masih kami hadapi ketika mencari lokasi sebenar Pasir Salak kali ini. Masalah papan tanda arah, itu yang membuatkan kami menyampah!

Papan tanda itu begitu gah dipasang dari Lebuhraya utara-selatan, kemudian keluar dari Bidor ke Teluk Intan dan dari Teluk Intan ke Bagan Datoh serta sebaliknya.

Namun paling akhir kami menemui papan tanda itu di satu simpang (Kampung Dedap) dalam perjalanan diantara Jambatan Sultan Yusof dan Lumut.

Tetapi di sepanjang jalan dari simpang itu ke lokasi Birch dibunuh, tiada satu papan tanda wujud walaupun kami melalui beberapa simpang lagi selepas itu. Kesabaran saya hampir tercabar apabila kanak-kanak sekolah (depa cuti sekolah dan sedang lepak di pondok tepi jalan) yang kami tanya seolah-olah tidak tahu tempat bersejarah itu.



(Tempat Birch dibunuh - kini kurang dikunjungi pelancong)


Setelah beberapa kali berhenti untuk bertanya orang di tepi jalan, akhirnya kami tiba di lokasi yang dituju.
(Foto : Kawasan kolam yang terbiar di Resort)
Sekali lagi kami dikecewakan kerana rupanya “kompleks sejarah” itu sudah “mati”. Sudah seperti rumah yang ditinggalkan penghuni. Dan ia seakan mengiyakan laporan yang kami baca sebelum ini bahawa “Kompleks Sejarah Pasir Salak” sudah tidak diselenggarakan lagi.

Mujurlah Resort yang bersebelahan masih mampu dikunjungi pelawat ketika cuti sekolah begini. Itupun nampak malap saje.....

Teluk Batik :
Tempat ini sering saya kunjungi semasa dalam alam persekolahan dulu. Saya sering berbasikal dengan rakan-rakan ketika cuti sekolah dan berkhemah di tepi pantai. Untuk berbasikal memakan masa kira-kira dua jam. Itupun merentasi Sungai Perak dari jeti Bagan Datoh ke jeti Kampung Kayan di Seberang Perak.



(Teluk Batik sudah bertukar wajah)



Terlalu banyak perubahan yang telah berlaku. Banyak bangunan penginapan muncul bagaikan cendawan tumbuh.

Di pinggir pantai, dataran pejalan kaki terbentang luas seperti laluan depan Mahkamah Keadilan di Putrajaya.

Perubahan-perubahan itu mengambarkan sudah lama benar saya tidak berkunjung. Mungkin hampir sepuluh tahun.

(Lantai dataran sudah mengalami retak)

Namun saya rasa sedih bercampur gembira. Gembira dengan pembangunan pesat Teluk Batik yang sehingga kini kerja-kerja menaik taraf masih berjalan. Sedih kerana cara kerjanya masih bertaraf ‘cincai’.

Belumpun sebahagian kawasan sempurna kerjanya. Sebahagian lagi kawasan yang sudah siap mengalami kerosakan.

Swiss-court Holiday Appartments Damai Laut :
Kawasan peranginan yang pernah memenangi Anugerah Pelancongan Terbaik 2005/2006, kini kualitinya terlalu jauh daripada taraf itu. Banyak kemudahan tidak diselenggarakan dengan sempurna. Mereka yang datang berkunjung pastinya merasakan pemilihan percutian kali ini tidak berbaloi.

Sudahlah perjalanan dari Lumut agak jauh. Ia terpaksa melalui jalan Lumut-Pantai Remis kemudian melalui jalan sepi sejauh 7 km ke dalam. Kalau melakukan perjalanan malam lebih baik berteman! Dan jika dibandingkan dengan apartment di Teluk Batik dengan kemudahan makanan dan pantai, disyorkan lebih baik memilih Teluk Batik. Harganya lebih murah dan kemudahan lebih menarik.

Namun bagi mereka yang memerlukan kedamaian di samping bermain golf di padang yang botak, Damai Laut masih boleh dijadikan pilihan.