Wednesday, October 31, 2007

PASANGAN PENYAMPAI BERITA BERCINTA?

Benarke pasangan Penyampai Berita ini sedang bercinta?

Mereka dilihat begitu mesra pada majlis Rumah Terbuka seorang teman. Fadzil Rais adalah penyampai berita sukan di Buletin Utama manakala Haizi Rani sering muncul menyampaikan berita "Buletin Pagi" dan "Buletin 130" di TV3.

Apapun gossip yang dilontarkan terhadap mereka, hanya mereka berdua yang tahu.


Monday, October 29, 2007

RUMAH TERBUKA DATUK ZAHID SESAK

(Datuk Ibrahim Yahaya atau Tiger dan Rosli Ismail, orang kuat AgendaDaily - antara tetamu setia Datuk Zahid)


(Turut hadir wakil Mindef, Lt Kol Fadzlette bertudung hitam bersama staf Berita TV9)

Selepas rumah terbuka di Sri Pentas, pada sebelah malamnya ada diantara tetamu turut menghadiri rumah terbuka Datuk Ahmad Zahid Hamidi di kediamannya (kuaters kerajaan) di Putrajaya.

Deretan kereta tetamu memenuhi sepanjang jalan menuju ke kediamannya, malah barisan kereta melimpah sehingga ke jalan besar menuju ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana.

Sesetengah tetamu tersalah rumah dan bertandang ke rumah Datuk Dr Latiff (Timbalan Menteri Kesihatan) yang turut mengadakan rumah terbuka malam itu. Rumah Datuk Zahid dan Datuk Dr Latiff berada di lorong yang sama dan terletak hanya selang beberapa rumah diantara satu dengan lain.

Kedua-dua mereka tidak menyangka untuk mengadakan rumah terbuka pada hari dan waktu yang sama. Malah warna pada khemah mereka juga sama, putih dan jingga.

Sesetengah tetamu bergurau, "bertuah Datuk Dr Latiff kerana mendapat tetamu Datuk Zahid yang melimpah ke rumahnya".

Ketua Pemuda UMNO Wilayah dan juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norza yang turut tersalah rumah pula berkata beliau sekadar bersalaman dengan Dr Latiff dan tidak menjamah makanan dengan alasan sudah kenyang.

Manakala Dr Latiff sendiri mengakui kad kehadiran yang sepatutnya diberikan kepada setiap tetamu jauh tidak mencukupi.

Tahun depan Datuk Dr Latiff mahu kedua-dua mereka berbincang tarikh sebelum mengadakan rumah terbuka untuk mengelak kesesakan lalulintas.

Namun Datuk Zahid berkata ia tidak perlu kerana beliau akan berpindah semula ke rumahnya yang siap diperbaiki di Country Height, Kajang.

Saturday, October 27, 2007

AKSI-AKSI RUMAH TERBUKA MEDIA PRIMA

Semalam seperti tahun-tahun sebelumnya Kumpulan Media Prima mengadakan rumah terbuka untuk kakitangan dan tetamu jemputan.
Sesi pertama majlis dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari dikhaskan untuk warga kerja Media Prima (TV3, NTV7, 8TV, TV9 serta anak-anak syarikatnya yang lain).
Sesi kedua bermula jam 3 petang dikhaskan pula untuk tetamu jemputan.
Pelbagai juadah disediakan. Setiap jabatan dan anak-anak syarikat dikehendaki menyediakan gerai sendiri dengan juadah pilihan masing-masing. Persembahan dan juadah yang disediakan akan diadili oleh panel profesional dari luar.
Divisyen Berita Dan Ehwal Semasa TV3 umpamanya masih meneruskan menu nasi lemak specialnya 'Nasi Lemak DKZ' sempena nama bosnya Datuk Kamarulzaman Zainal.
TV9 pula dengan hidangan nasi beriani istimewa dengan tetamu dilayan khas oleh kakitangan bertugas.
Manakala bahagian kejuruteraan menyediakan sup 'gear box' nya yang sukar untuk dijamah.
(Datuk Kamarulzaman (kiri) dengan 'bunting' Nasi Lemak DKZ)


(LH dan Abu Bakar Atan turut meraikan Datuk Anthony Bujang yang baru mendapat Darjah Kebesaran)


(Orang Arab dengan 'unta'nya - persembahan daripada krew Jejak Rasul dan Al-Khulliyah)

Thursday, October 25, 2007

SRI PENTAS DIBANJIRI DATUK

(Rakan sebilik ketika mengerjakan umrah, Anthony Bujang (kiri) kini turut bergelar Datuk)


Sri Pentas khususnya Media Prima semakin dibanjiri orang bergelar Datuk. Terbaharu Pengarah Operasi TV3, Athony Firdaus Bujang mendapat anugerah Darjah Kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Turut mendapat DIMP sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-77 ialah Ketua Pegawai Eksekutif NTV7, Amrin Awaluddin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan turut mengutip satu lagi gelaran sempena hari keputeraan itu. Beliau kini bergelar Datuk Seri apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Sebelum ini mereka yang bergelar Datuk di Media Prima yang berpejabat di Sri Pentas (selain ahli lembaga pengarah bebas) ialah Pengerusi Media Prima Datuk Abdul Mutalib Razak, Pengarah Kumpulan Berita Dan Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Kamarulzaman Zainal dan bekas Pengurus Besar Berita Dan Ehwal Semasa TV3, Datuk Chamil Wariya.

Selepas ini kemungkinan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Prima, Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar turut bergelar Datuk.

Sekiranya Datuk Ibrahim Yahaya (Tiger) masih berkhidmat di Divisyen Berita dan Ehwal Semasa TV3, senarai orang yang bergelar Datuk di Sri Pentas akan lebih panjang. Dan ia akan lebih panjang lagi, apabila bekas penyampai berita TV3, Mahadzir Lokman yang turut dianugerahkan DIMP bersama-sama Anthony dan Amrin, kekal di TV3.

Senarai itu semakin berjela apabila dimasukkan nama-nama kakitangan kumpulan Media Prima dari Balai Berita di jalan Riong, Bangsar. Antaranya Datuk Hishamuddin Aun, Datuk Manja Ismail, Datuk Syed Faisal dan Datuk Syed Nadzri Syed Harun.

Tahniah kepada mereka yang baru mendapat gelaran Datuk. Saya hanya perlu tunggu dapat cucu untuk bergelar Atuk.

Monday, October 22, 2007

RUMAH TERBUKA DI BAGAN DATOH

(Datuk Zahid bersama AJK Bahagian menanti tetamu)

(Pemimpin IPF pun 'nak jugak')

(Deretan kereta tetamu)


(Soto atau Sup Bagan Datoh)

(Taufu Fa)


Setelah lebih seminggu berada dalam bulan syawal, masing-masing mengadakan rumah terbuka di sana sini. Sama ada ahli politik, golongan korporat, syarikat-syarikat, organisasi dan individu. Sampai tak larat nak pergi….

Sabtu lalu saya berkesempatan pulang ke kampung untuk menyertai majlis rumah terbuka yang dianjurkan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh. Ia diadakan keesokan harinya.

Sebelum itu pada hari sabtu, selepas isyak diadakan majlis Forum Perdana di perkarangan Maahad Tahfiz di sebelah rumah ibubapa kami. Ia dianjurkan oleh Jawatankuasa Islam Hadhari Malaysia.

Seperti biasa rumah terbuka beliau dan UMNO Bahagian Bagan Datoh mendapat sambutan meriah penduduk tempatan yang turut disertai pemimpin-pemimpin dan anggota-anggota parti komponen Barisan Nasional.

Antara menu yang menjadi kegemaran pengunjung, sup Bagan Datoh dan air Taufu Fa.

Selepas ini Datuk Zahid akan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Putrajaya, pada 26 haribulan ini, pada sebelah malam.

Saturday, October 20, 2007

KEMBARA (3) - PAKISTAN

Kemelut politik yang melanda Pakistan dan kepulangan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto selepas lapan tahun dalam buangan, mengimbau kenangan ketika membuat tugasan di negara itu lama dulu.

Kepulangan Benazir disambut meriah penyokongnya, walaupun ancaman bunuh oleh Al-Qaeda dan Taliban tidak boleh dipandang ringan. Dan akhirnya selepas 10 jam berada di negara tumpah darahnya, letupan bom bunuh diri benar-benar berlaku. Lebih 130 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi orang awam cedera.

Bulan lalu bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif yang tinggal dalam buangan di Arab Saudi cuba untuk pulang ke Pakistan tetapi gagal. Beliau dihalang untuk memasuki negara setibanya di Lapangan Terbang Karachi.

Kepulangan Benazir pula mendapat restu Presiden Jeneral Pervez Musharraf walaupun beliau tiba lebih awal daripada yang dibenarkan. Benazir dan Musharraf dijangka berkongsi kuasa selepas pilihan raya Januari depan. Kaedah itu dikatakan yang terbaik selepas Musharraf semakin tertekan dan kehilangan kuasa.

Pergolakan politik di Pakistan memang tidak berkesudahan sejak dulu. Kemelut politiknya akan berakhir dengan pembunuhan dan ia sesuatu yang tidak berlaku di negara ini. Keadaan itu berlaku kerana perwatakan masyarakatnya yang agak kasar dan kehidupan mereka yang penuh dengan tekanan.

Ketika saya berkunjung ke Pakistan ketika itu Nawaz Sharif sebagai Perdana Menteri. Saya berkesempatan menyaksikan perbarisan Hari Kemerdekaannya yang ke-50 secara besar-besaran yang disertai pelbagai kelengkapan tentera. Saya juga berkesempatan singgah ke kediaman rasmi Perdana Menteri di sebuah bukit di Islamabad.

Islamabad adalah bandaraya pentadbiran seperti juga Putrajaya, lebih tenang berbanding Karachi. Namun jalanrayanya ketika itu masih berdebu. Teksinya kebanyakan berusia lebih 15 tahun, kecil berbanding orang-orang Pakistan yang bertubuh besar.

Pernah saya dan teman-teman menaiki teksi ke atas bukit peranginan untuk melihat salji menggunakan teksi. Alangkah terkejutnya kami apabila menuruni bukit itu, mendapati keempat-empat tayarnya tiada bunga. Itupun kami sedar setelah pemandu teksi berhenti menukarkan tayar kenderaannya yang kempis.

Saya sempat juga membeli permaidani dan beberapa jaket kulit di Islamabad. Walaupun murah, kuali kulit jaketnya tidaklah selembut yang dijual di Karachi atau tempat-tempat lain di dunia.

(Bergambar di depan PTC)


(Di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan)


Thursday, October 18, 2007

BERAYA DI HOSPITAL



Tahun ini juga menjadi pengalaman baru bagi kami kerana berhari raya di hospital. Walaupun terasa sedih, ia pengalaman yang sukar dicari.

Selepas bersolat sunat aidil fitri di kawasan perumahan masing-masing, semua adik-beradik berkumpul di hospital.