Wednesday, September 12, 2007

SELANGOR SOLAT TARAWIH 20 RAKAAT

Ketetapan kerajaan Selangor supaya semua masjid dan surau di negeri itu mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat mencetuskan sedikit polimik di kalangan masyarakat secara senyap.

Sesetengah masjid dan surah sebelum ini mengadakan Tazkirah selepas solat Tarawih lapan rakaat bagi mengekalkan jumlah jemaah yang ramai. Dengan adanya ketetapan itu, mungkin selepas lapan rakaat jemaah Terawih di masjid dan surau di Selangor akan menjadi hanya dua saf seperti yang lepas-lepas.

Polimik ini turut akan dipaparkan dalam Berita TV9 malam ini sebagai 'usik-usik', kerana tiada nas yang menetapkan bilangan rakaat yang perlu dilakukan.

Di bawah petikan laporan mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor berhubung arahan itu.

SHAH ALAM (3 Sept.): Kerajaan Selangor mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan kali ini, tidak termasuk solat Witir tiga rakaat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata kerajaan negeri juga membuat ketetapan tidak membenarkan masjid dan surau mengadakan tazkirah bagi mengelak perpecahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

Beliau berkata, ketetapan itu juga bertujuan memastikan umat Islam tidak berdebat mengenai jumlah rakaat solat tarawih serta sama ada tazkirah boleh diadakan ketika Tarawih.


“Kita kena ingat siapa kita dan adakah dengan melakukan solat Tarawih lapan rakaat ia sudah dikira sempurna. Namun, jika dilakukan 20 rakaat jangan pula imam baca ayat laju sangat, sehingga sebutannya tak jelas dan akhirnya tak beri manfaat kepada kita.

“Kita tidak benarkan tazkirah ketika Tarawih sebab kita digalak kurangkan bercakap, banyakkan berzikir, membaca al-Quran dan bersedekah, selain berpuasa sepanjang Ramadan," katanya ketika merasmikan majlis penyampaian moreh kepada masjid dan surau seluruh negeri di sini, semalam. (Sumber : Bernama)

Sunday, September 9, 2007

SEMAKIN KURANG JIRAN MELAYU



Kawasan lapang dengan keluasan 20.8 ekar di pintu masuk ke kawasan perumahan Pusat Bandar Puchong, bakal menjadi kawasan komersil terbaru di Puchong. Ketika ini selain IOI Mall, Puchong turut mempunyai Tesco dan Giant di Bandar Puteri.

Kawasan yang dinamakan Setia Walk ini bakal mempunyai kediaman mewah, pejabat, panggung wayang dan kawasan rekreasi keluarga. Harga yang dicadangkan untuk ditawarkan bagi seunit kediaman dan pejabat sekitar RM 2.5 juta hingga RM8.9 juta.

Saya yang tinggal hanya beberapa meter dari kawasan ini bakal menerima ramai lagi jiran daripada kalangan bukan Melayu. Jiran Melayu saya yang ada pula kini ramai menjual hartanah mereka dan berpindah ke kawasan lebih pinggir. Kurang lagilah undi Melayu di situ.

GURU TAHFIZ REMPUH SEKATAN POLIS

Dua lelaki diberkas ketika cuba melarikan diri dalam satu sekatan polis bagi mencegah lumba haram di ibu negara.

Kejadian itu hampir meragut nyawa pegawai polis yang bertugas kerana lelaki terbabit enggan berhenti setelah diarah berbuat demikain.

Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan yang mengenai cermin kereta berkenaan.

Kereta dinaiki dua lelaki itu turut merempuh kereta seorang jurukamera yang secara kebetulan melalui tempat kejadian.


Kejadian berlaku jam empat 15 pagi tadi di persimpangan lampu isyarat jalan raja laut menghala ke arah jalan sultan ismail.

Sebelum itu pegawai polis berpangkat asisten superitendan itu mengarahkan lelaki berkenaan memberhentikan keretanya dan melepaskan tembakan amaran.

Bagaimanapun amaran itu tidak diendahkannya menyebabkan satu lagi das tembakan dilepaskan dan menembusi cermin belakang kereta berkenaan.

Namun lelaki itu cuba melepaskan diri dengan memandu melawan arus sehingga menyebabkan kenderaan lain nyaris berlanggar sesama sendiri.

Bagaimanapun kecekapan polis berjaya menahan lelaki terbabit kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Siasatan awal polis mendapati lelaki itu adalah seorang guru tahfiz al-quran berasal dari pantai timur.

Turut ditemui di bahagian belakang keretanya sebatang kayu dengan kesan darah dipercayai digunakan dalam pergaduhan.
(Sumber : Berita TV9 - siaran 9 September 2007)


Wednesday, September 5, 2007

SEKILAS PANDANG BAJET 2008

Jumaat ini Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membentangkan Bajet 2008 di Parlimen.

Ia adalah bajet pertama untuk 50 tahun akan datang. Pembentangan itu juga sebagai menilai bajet negara untuk 50 tahun yang lalu selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Bajet dengan tema ‘Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran’ menekankan tiga aspek penting iaitu keperluan untuk bersaing, modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Bajet kali ini akan memberi faedah kepada semua pihak sama ada rakyat, sektor swasta dan kerajaan.

Bagi merungkai masalah pemilikan rumah, kerajaan dijangka mengumumkan kaedah pinjaman mudah bagi membeli rumah. Sistem cukai yang lebih pasti kepada rakyat turut dijangka diperkenalkan.

Namun perlu juga diingat bahawa bajet yang akan dilaksanakan sebenarnya ada yang telah diumumkan sepanjang tahun ini. Dan pembentangan kali ini, sesetengahnya hanyalah sebagai rumusan.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamad Yakcob pada taklimat kepada pengarang-pengarang hari ini turut menyelitkan jenaka mengenai pelepasan cukai kepada isteri.

Menurutnya PAS mempersoalkan mengapa tiada pelepasan cukai untuk isteri kedua, ketiga dan keempat, sedangkan Islam membenarkan beristeri empat.

Beliau secara berjenaka memberi alasan; isteri pertama adalah keperluan manakala isteri kedua dan seterusnya adalah sesuatu yang mewah.

Butiran-butiran lain masih embargo.

Tuesday, September 4, 2007

BLOG KHUSUS UNTUK REGULAR 21

Kepada skot Regular 21 : Saya telah wujudkan blog khusus untuk kita. Sila layari Regular 21.

Monday, September 3, 2007

SEMBANG-SEMBANG REGULAR 21

Reunion Regular 21 yang pada mulanya ingin ditangguhkan kerana kesibukan skot-skot dengan tugas masing-masing diteruskan juga semalam. Pertemuan di Wisma Perwira (Mes Pegawai) Jurutera Pakar itu, sekadar sembang-sembang. Kalau dulu sembang-sembang skot banyak mengenai kerjaya, kini ia lebih tertumpu kepada cerita anak-anak.

Mereka yang hadir Kol Masrani, Kol Redzuan, Lt Kol Azmi, Lt Kol Aziz, Lt Kol Tayazi, Mej Hanafiah, Mej (B) Omda dan saya sendiri.

Kol Masrani yang kini tinggal di kem Sungai Besi singgah menyertai kami sebelum menghantar anaknya ke UIAM.
Masrani seorang pegawai kanan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) adalah antara skot yang terawal memakai pangkat Kolonel.

Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting di Mindef termasuk 'Kolonel Alat' (purchaser) dan Komandan Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor. Pada pertemuan semalam Masrani bercerita mengenai peristiwa tersalah rumah ketika menghadiri perkahwinan saya dahulu. Iaitu antara Lokman si penganti dengan Lokman abang si pengantin.

Begitu juga Kol Redzuan yang kini mengambilalih tempat Masrani sebagai Komandan PULADA. Beliau yang datang bersama-sama keluarga turut menghantar anak ke Pusat Pengajian Tinggi. Kami berkongsi pengalamannya mengenai peristiwa letupan bom yang mengorbankan seorang kakitangan syarikat kontraktor di PULADA.

Lt Kol Azmi yang tiba agak lewat selepas Kol Ridzuan pulang juga disertai keluarga. Beliau adalah Timbalan kepada Ridzuan di pusat latihan itu. Lt Kol Azmi datang memandu sendiri “staff car”nya yang berdaftar ZA. Azmi adalah adik kepada Puan Sri Habibah Yusof bekas personaliti TV3 yang berkahwin dengan kerabat diraja Pahang. Beliau antara dua anggota skot kami yang dihantar menjalani latihan ketenteraan di United Kingdom.

Lt Kol Tayazi yang biliknya berjiran dengan bilik saya ketika di RMC antara yang datang awal. Beliau kini menyambung pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia, UUM di Sintok. Selain Tayazi, dua anak-anaknya turut menuntut di universiti yang sama. Tayazi terpaksa membawa semua anggota keluarganya ke Perlis dan meninggalkan rumahnya di Klang kosong, diancam anai-anai.

Seorang lagi wakil Kor Perkhidmatan selain Tayazi yang hadir ialah Lt Kol Aziz. Beliau banyak bercerita tentang golf dan peluang bisnes yang berkaitan dengan ATM.

Menurutnya, skot yang sudah berhenti perlu memanfaatkan jawatan skot yang di atas itu untuk mencari peluang bisnes. Sekurang-kurangnya nasib skot-skot yang lain dapat dibela. Skot yang hendak bersara pula sudah mempunyai tapak untuk memulakan kerjaya baru. Beliau berkata Brig Jen Dato Ackbal Samad (pangkat terkanan di kalangan skot) yang kini memegang jawatan Pangliman Logistik TUDM perlu didekati.

Orang yang tidak disangka-sangka akan hadir, tiba-tiba muncul dipintu mes ialah Mej Hanafiah. Beliau dijangka bersara tahun depan. Pegawai Kor Polis Tentera ini sudah lebih tujuh tahun ditempatkan di Penjara Pusat ATM dan sudah mahir dengan seluk beluk pengendalian pesalah ATM. Seperti dahulu jika bersembang dengan Hanafiah, beliau pasti akan merujuk petikan atau personaliti daripada buku-buku yang dibacanya.

Mej (B) Omda adalah orang yang penting di sebalik pertemuan semalam. Beliau mengambil alih tugas sukarela daripada Mej (B) Fauzi yang tidak dapat hadir dari Perlis. Fauzi baru kematian mertuanya dan baru pulih daripada demam.

Omba paling awal datang sebelum saya sampai. Beliau terpaksa mengatur persiapan seorang diri di mes itu bagi memastikan skot-skot yang datang tidak kecewa dengan makanan dan minuman yang disediakan. Manakala tempat pertemuan telah ditempah sebelum ini oleh Fauzi.

Omda kini lebih menumpukan tugasnya dalam bidang hartanah. Mana-mana skot yang ingin membeli atau menjual tanah dan rumah boleh berhubung terus dengan beliau.

Selain itu, antara skot yang berjanji akan hadir tetapi terpaksa membatalkan hasrat pada saat akhir kerana tugas dan perkara penting ialah Kol Jalal dan isterinya Mej (B) Norkiah serta Lt Kol Fadzelette.

Jalal dan Norkiah terpaksa menziarahi saudara yang sakit di Pahang manakala Lette terpaksa menghadiri raptai Tatu Antarabangsa di Stadium Negara.

Bagaimanapun skot yang hadir telah merumuskan bahawa satu laman web atau blog perlu diwujudkan khusus, sebagai saluran komunikasi yang mudah. Skot-skot diminta menghantar nombor telefon dan alamat kepada Fauzi, Omda, Masrani, Fadzelette dan Lokman untuk dikemaskinikan.

Untuk pertemuan selepas ini (kemungkinan selepas raya atau hujung tahun), surat-surat jemputan akan dihantar dan jawapan pengesahan kehadiran diminta. Reunion dicadangkan tidak akan dibuat pada cuti-cuti umum bagi mengelak pertembungan tarikh dengan aktiviti keluarga. Ia juga dicadangkan diadakan secara bergilir-gilir di mana-mana lokasi skot berada dan tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur. Setuju ke?

Sunday, September 2, 2007

MALAM GEMILANG MERDEKA SUKSES




Malam Gemilang 50 Tahun Merdeka anjuran PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (1) di perkarangan sekolah malam tadi berakhir dengan jayanya.

Selain Timbalan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi penaung dan merasmikannya, ia turut dihadiri Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Dato Dr Mohd Satim Diman dan Ahli Parlimen Puchong, Law Yeng Peng. Turut menjadi tetamu, pembaca berita TV9, Abu Talib Husin, Norazura Abu Samah dan wartawan Nurul Aishah Ab Rahman.

Sambutan amat menggalakkan. Urusetia penganjur terpaksa menambah bilangan meja untuk menampung permintaan ibubapa dan pertubuhan. Selain persembahan hiburan daripada pelajar yang berunsur patriotik ia turut diserikan dengan persembahan artis jemputan, Juara One In-A-Million, Suki.

Ini adalah aktiviti tahunan ketiga PIBG sekolah berkenaan sejak saya menerajuinya tiga tahun lalu.

Tahun-tahun sebelum ini PIBG turut menganjurkan Malam Gemilang di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya bagi mengutip dana. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga telah sudi menjadi penaungnya. Sambutan ketika itu juga amat mengalakkan dan penganjur terpaksa menambahkan bilangan meja untuk menampung permintaan.

Pembaca berita TV3, Phang Chinn Feh menjadi pengacara majlis ketika itu, manakala wartawan Karam Singh Walia menjadi tetamu istimewa dan muncul secara 'live' dengan laporan alam sekitarnya.

Tahun lalu PIBG turut menganjurkan Hari Keusahawan ala-ala "Jom Heboh" di perkarangan sekolah. Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Noh Omar menjadi penaungnya. Sambutan juga amat mengalakkan dan pengendali-pengendali gerai terpaksa berhadapan dengan masalah kekurangan stok. Penganjur turut mambawa pembaca berita TV3 antaranya Azwaliza Azman dan Norliza Zainuddin.

Kepada yang memberi sumbangan dan sokongan diucapkan terima kasih.
Lagi foto sekitar Malam Gemilang di sini; (Gemilang1) dan (Gemilang2)