Sunday, February 1, 2009

RENCAH POLITIK MALAYSIA

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam ini menafikan meletakkan jawatan mereka, sepertimana yang diumumkan petang tadi.

ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi memaklumkan kepada Utusan Malaysia bahawa beliau dan dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu tidak pernah menghantar surat berhubung perletakan jawatan itu.

Sebaliknya beliau mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi ADUN PKR yang sekiranya mereka keluar daripada parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing. - Utusan

=============================

IPOH 1 Feb. — Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang “hilang” sejak Isnin lepas hari ini mengumumkan peletakan jawatan serta-merta.

Yang Dipertua DUN Perak, V. Sivakumar berkata, ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan itu di rumah beliau pada 5.45 petang tadi.

Dalam kenyataannya yang difakskan ke pejabat media di sini, Sivakumar berkata beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

“Surat peletakan jawatan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh saya berasaskan Artikel XXXV Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Oleh yang demikian saya sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang dengan segera,” katanya. - Bernama

===========================

KOTA BAHARU 1 Feb. - Pas mencadangkan agar Parlimen dibubarkan bagi membolehkan satu pilihan raya umum diadakan semula daripada memperkenalkan undang-undang melompat parti.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, UMNO tidak perlu mengadakan undang-undang itu semata-mata untuk menghalang mana-mana wakil rakyat daripada melompat parti.

“Pada asasnya saya setuju, tetapi lebih baik mereka membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya semula bagi menentukan integriti UMNO dan Barisan Nasional di mata rakyat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini. - Bernama

No comments: